Aney Hipster & Rakan-rakan, Nasi Lemak Politik, Tosainomics

BN Pilihan Terbaik Untuk Kemakmuran Ekonomi Negara

04/17/2018

Pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018 ini bakal menjadi medan perhitungan terbesar kepada masa depan Malaysia. Mengundi bukanlah satu usaha yang suka-suka, ia merupakan satu tindakan serius oleh lebih 14 juta rakyat Malaysia yang layak untuk memastikan negara ini ditadbir oleh pihak yang berkemampuan dan memberikan kemajuan menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Justeru memilih dalam pilihan raya amat mustahak dan setiap rakyat wajib menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk memastikan Kerajaan yang dibentuk nanti merupakan Kerajaan terbaik untuk semua.

Baru-baru ini beberapa penganalisis ekonomi dalam dan luar negara telah membuat penilaian secara komprehensif berhubung kedudukan ekonomi negara berlandaskan kepada kesan yang bakal terjadi selepas pilihan raya umum ke-14. Media ekonomi terkemuka dunia, Bloomberg telah merangkumkan pandangan pakar ekonomi terhadap politik Malaysia pasca pilihan raya umum-14 berasaskan kepada tiga keadaan berbeza.

Keadaan pertama ialah jika BN mencapai kemenangan. Semua pakar-pakar ekonomi antarabangsa yang dipetik oleh Bloomberg menyifatkan kemenangan BN akan memberikan impak positif kepada pasaran saham dan kedudukan ekonomi Malaysia. Malah nilai ringgit juga dijangka akan meningkat dan sekaligus melihatkan bagaimana ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahap yang telah diunjurkan. Jelas berasaskan kepada perkiraan di peringkat antarabangsa, kemenangan BN ialah kemenangan untuk pengukuhan ekonomi negara. Malah ini sekaligus menepis dakwaan pembangkang yang mendakwa BN akan menyebabkan Malaysia bankrap.

Seterusnya jika kedudukan keputusan pilihan raya umum melihatkan keputusan tergantung, maka keadaan pasaran ekonomi Malaysia dilihat akan terjerumus ke keadaan tidak menentu. Namun begitu, kebanyakan pakar melihat disebabkan asas ekonomi negara di bawah BN merupakan asas yang kukuh, maka kesan akibat Parlimen tergantung ini tidak begitu ketara. Namun ia akan dapat distabilkan apabila keputusan politik yang berkaitan dapat dibuat.

Menurut Bloomberg yang memetik pandangan pakar ekonomi dunia, senario kemenangan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-14 akan memberikan kesan tidak baik kepada ekonomi negara. Ramai pakar berpandangan bahawa pasaran ekonomi akan memberikan reaksi negatif dan nilai ringgit akan menjadi lemah. Ini berlaku kerana pelabur dan pasaran tidak mempunyai kepercayaan yang baik terhadap pembangkang disebabkan pembangkang tidak mempunyai rekod dalam mentadbir negara.

Justeru jelas melalui keadaan ini, BN akan membawa kemakmuran kepada ekonomi negara. Ini sekaligus berjaya membuktikan bahawa segala dakwaan pembangkang terhadap ekonomi negara dalam nada negatif adalah tidak benar sama sekali. Untuk itu, demi kemajuan negara yang berterusan, BN ialah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply