Aney Hipster & Rakan-rakan, Nasi Lemak Politik

Tsunami Melayu: Adakah PPBM Bermimpi?

04/07/2018

Tsunami Melayu yang dilaung-laungkan oleh PH nampaknya seperti tidak akan berlaku. Sebelum ini pembangkang begitu bersungguh-sungguh menyatakan bahawa PPBM dan Tun M akan menggerakkan tsunami Melayu dan memberikan kesan pola pengundian kaum Melayu beralih ke pembangkang. Namun kini segala-gala mimpi itu dilihat tidak kesampaian apabila ia dinafikan sendiri oleh pemimpin pembangkang sendiri, tak lain dan tak bukan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Ia jelas satu tamparan hebat kepada PPBM dan melihatkan bagaimana rakan parti lain di dalam PH juga tidak begitu yakin dengan apa yang mampu dilaksanakan oleh PPBM. Ketika mengulas hal berkenaan Rafizi kelihatan cuba mengambil jalan selamat dan kelihatan cuba menjaga hati pemimpin PPBM, namun pada hakikatnya apa yang dinyatakan Rafizi itu jelas menunjukkan bahawa pengaruh Tun M dan PPBM untuk mendapatkan sokongan Melayu tidaklah begitu hebat seperti yang sering dicanang-canangkan.

Berdasarkan kepada keadaan ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa masih ramai pengundi Melayu yang menganggap UMNO masih pilihan terbaik untuk membela nasib kaum berkenaan dan PPBM yang dipimpin Tun M dilihat tidak mampu menggalas tanggungjawab berkenaan. Tambahan pula pandangan pengundi Melayu terhadap Tun M adalah amat berbeza berbanding ketika beliau di dalam UMNO. Ini membuktikan bahawa kekuatan Tun M sebelum ini adalah atas dasar beliau merupakan pemimpin UMNO dan melalui keadaan sekarang pengaruh yang sama sudah tidak ada lagi pada pemimpin veteran itu.

Tsunami Melayu itu hanya semata-mata istilah yang cuba memukau pengundi Melayu dan melihatkan bagaimana pembangkang sudah bersedia. Namun pada hakikatnya ia tidak lebih daripada itu. Pengundi Melayu tidak mempunya keyakinan besar terhadap PPBM dan parti itu yang dilihat sedang berdepan konflik dalaman serta bercelaru membuatkan keyakinan Melayu terhadap parti itu kian goyah. Malah dalam sesetengah keadaan kita melihat bagaimana individu-individu penting yang terlibat dalam usaha mengasaskan PPBM juga telah keluar dari parti berkenaan dan mengkritik bagaimana cara parti itu diuruskan.

Ini semua ialah petunjuk penting yang harus kita nilai secara teliti sebelum mengeluarkan pandangan bahawa PPBM mampu membawakan tsunami Melayu. Hakikatnya pemimpin pembangkang lain juga tidak percaya dengan kemampuan PPBM untuk mencetuskan gelombang mengalih sokongan Melayu ke arah pembangkang. Segala pandangan tentang kemampuan PPBM mencetuskan tsunami Melayu hanya dilontarkan oleh barisan kepimpinan PPBM sendiri sahaja.

Justeru tsunami Melayu ini hanya ilusi dan tidak akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang. Berdasarkan kepada sentiment semasa, undi kaum Melayu masih kekal memihak kepada UMNO dan BN.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply