Aney Hipster & Rakan-rakan, Nasi Lemak Politik

Kerajaan Pamer Sikap Prihatin Terhadap Penjawat Awam dan Pesara

04/06/2018

Kerajaan pada 4 April telah mengumumkan sembilan khabar gembira kepada penjawat awam dan pesara kerajaan di seluruh Negara di dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 di hadapan lebih 10,000 hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Antara buah tangan paling ‘istimewa’ yang akan diterima oleh penjawat awam adalah pemberian kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua 1.6 juta penjawat awam yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2018. Pemberian kenaikan bersamaan satu KGT itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion dan ini bermakna, penjawat awam akan mendapat tambahan satu lagi KGT disamping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk memendekkan tempoh kenaikan pangkat berasaskan ‘time based’ kepada kakitangan kumpulan pelaksana daripada tempoh 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018. Pelaksanaan ini telah membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM34 juta dengan melibatkan sebanyak 13,006 pegawai.

Kerajaan juga akan mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan khusus untuk pegawai yang berada lebih lima tahun di Gred 54. Perkara ini sekali gus akan mampu memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta.

Disamping itu, kerajaan juga turut bersetuju untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa bagi pegawai-pegawai lantikan kontrak dan memberi faedah kepada 42,867 pegawai, berkuat kuasa pada 1 Julai 2018. Dalam masa yang sama, kerajaan bersetuju menyumbang sekurang-kurangnya RM3 juta setahun kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Bagi menghargai penjawat awam bukan beragama Islam menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing pula, kerajaan bersetuju untuk memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari maksimum sepanjang tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Januari 2018 kepada penjawat awam berkenaan. Sebelum ini, kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan selama tujuh hari hanya diberikan kepada penjawat awam beragama Islam bagi tujuan menunaikan umrah.

Bagi golongan pesara pula, pengumuman berita gembira iaitu satu peratus kenaikan kadar pencen secara one-off bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2018 adalah cukup-cukup bermakna bagi golongan ini. Tidak lupa juga, kerajaan  bersetuju memberi geran khas yang masing-masing bernilai RM1 juta kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia bagi menganjurkan aktiviti persatuan dan kelab. Paling penting, bagi memastikan pesara kerajaan berpeluang menunaikan fardu haji, kerajaan bersetuju menetapkan satu kuota khas kepada kumpulan berkenaan sejurus mendapat kuota yang diperuntukkan kepada Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi.

Oleh yang demikian, kesemua berita baik yang telah diumumkan ini menunjukkan pihak kerajaan sangat mengambil berat dan amat prihatin dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan penjawat awam dan golongan pesara. Sehubungan itu, wajarlah kita berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah berusaha sedaya upaya menyediakan khidmat yang terbaik untuk kita semua. Terima Kasih!

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply