Aney Hipster & Rakan-rakan

Anak Muda Tidak Tolak BN

02/09/2018

Baru-baru ini, kami telah menemubual 10 orang anak muda yang menyokong Barisan Nasional (BN) dan mahu bertanyakan mengapa mereka menyokong BN.

Pada awalnya, kami beranggapan assignment ini agak sukar kerana kononnya ramai anak muda tidak menyokong BN, tetapi alhamdulillah semuanya mudah. 10 daripada 13 orang yang kami temui, menyokong BN. Kita ikuti apa jawapan mereka.

  1. Che Hisham Nordin, 25, Shah Alam

Saya menyokong BN kerana saya berpendapat BN adalah ‘pemaju’ kepada orang Melayu. Datuk saya adalah orang kampung biasa yang tidak berharta, tidak berpendidikan. Kerajaan telah membantu datuk saya dalam beberapa projek pertanian dan pinjaman perniagaan MARA, serta ayah saya diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh pada tahun 1978. Ayah menamatkan pengajian di UM dan kini bekerja dengan sebuah badan berkanun. Kini kami boleh hidup agak senang, dan keluarga kami maju kerana bantuan pelajaran yang diberi kepada orang Melayu suatu ketika dahulu.

  1. Faizi Hammidi, 27, Sibu

Saya tidaklah menyokong mana-mana parti kerana semua parti ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Saya menyokong BN kerana mereka telah memerintah sekian lama dengan baik, dan banyak kemajuan dibawa dari masa ke semasa. Kita perlukan negara yang stabil, biarlah ahli politik berbalah sesama mereka asalkan kita rakyat boleh hidup senang, belajar, bekerja dan berniaga memajukan hidup masing-masing.

  1. Mohd Mokhtaruddin Makhtar, 33, Sungai Limau, Kedah

Saya merupakan anak kepada penyokong kuat PAS. Saya dibesarkan penuh dengan didikan agama sebagaimana didikan orang tua saya. Pada PRU yang lepas memang saya mengaku saya pangkah PAS namun pada kali ini saya tidak setuju dengan PAS. Parti PAS sudah tiada matlamat sama juga dengan Bersatu. Kedua-dua parti ini sama sahaja, mereka tiada matlamat untuk bangunkan negara. Apabila Bersatu berkerjasama dengan Cina, saya percaya satu hari nanti Cina akan dapat kuasa dan kita orang Melayu akan merempat. PRU kali ini, saya berjanji akan pangkah BN untuk kepentingan orang kita juga.

  1. Eric Lee Chin, 28, Taiping

Saya memang sokong BN dan saya tidak suka lihat parti lain menang. Pertukaran kerajaan akan menyusahkan rakyat dan merugikan semua usaha yang dah dibuat selama ini, segalanya terbantut. Apa yang kerajaan telah laksanakan cukup bagus untuk rakyat. Walaupun ramai yang tak puas hati dengan GST, saya rasa GST masih ok selagi kerajaan kekalkan caj 6% untuk 5-8 tahun lagi. Jika GST tiada, kerajaan tiada hasil kerana harga minyak dunia jatuh dan keadaan pasti huru-hara.

  1. Syed Mohd Redzuan Mukhtar, 28, Kuala Krai

Saya menyokong BN kerana saya dan keluarga kini banyak terhutang budi dengan kerajaan. Dato’ Ramzi (Ketua UMNO Bahagian) banyak membantu saya dalam mendapatkan pembiayaan MARA dan yang terbaru sekali adalah pembiayaan perniagaan dari SME Bank. Isteri saya pula berniaga makanan, dan sedikit sebanyak yang membantu adalah TEKUN Nasional. Meskipun jumlahnya tak banyak tapi ia amat membantu dalam keadaan kita memerlukan. Sewaktu banjir besar pada 2014 dahulu pun kerajaan BN banyak membantu kami. Dalam keadaan kami tiada apa-apa, BN tetap membantu meskipun rumah mereka pun banjir juga.

  1. Kamil Mohd Nor, 30, Chini

Kenapa perlu saya khuatir tentang BN sedangkan Tun Mahathir pun dulu yakin dengan BN. Selama ini pun masa BN pegang tiada satu pun rakyat Malaysia yang mati kebuluran. Sekarang ramai pula yang gemuk-gemuk. Apa yang disebar di FB kebanyakkannya tidak betul dan itu hanya propaganda sahaja untuk jatuhkan BN.

  1. Syazwanni Ahmed, 23, Tambun

Pada pandangan saya apa yang kerajaan telah laksanakan bagi memajukan negara amat membanggakan. Saya percaya, Malaysia akan mampu bersaing dengan mana-mana negara maju dan saya tidak yakin dengan parti selain daripada parti kerajaan.

  1. Syamira Juhari, 22, Batu Pahat

PRU14 adalah pilihanraya pertama saya, dan saya memang agak teruja untuk mengundi. Sejujurnya, saya ada dua pilihan utama iaitu sama ada BN ataupun PH. Saya berpendapat, BN lebih moderate dan nampak kesatuannya nampak utuh di mana MCA dan MIC boleh bekerjasama baik dengan UMNO. Mengenai PH pula, PPBM masih baru dan terlalu ramai orang yang kecewa, dan DAP dilihat tidak mesra Islam. Saya rasa saya cenderung memilih BN kelak, tapi kena tengoklah dulu.

  1. Amrih Hijus, 30, Kota Kinabalu

BN adalah pilihan saya untuk kemajuan keluarga dan negeri Sabah. Sejak dahulu, keluarga kami memang menyokong BN dan rasanya tiada apa apa yang akan mengubah fikiran kami buat masa ini.

  1. Hafizal Ahmad, 32, Dengkil

Sebagai pengusaha produk kosmetik, perniagaan saya tidak terlalu terjejas dengan pelbagai masalah yang diperkatakan oleh orang ramai. Sesetengahnya saya lihat sebagai ‘terlalu dipolitikkan’. Saya percaya BN boleh mentadbir negara yang stabil untuk lima tahun lagi.

– END –

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply