Aney Hipster & Rakan-rakan

Anwar Tidak Akan Menjadi PM Selepas Tun M

02/01/2018

Ramai yang masih tertanya-tanya, apa akan berlaku sekiranya Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi sekiranya Pakatan Harapan menang PRU-14 nanti. Kononnya beliau akan menjadi PM sementara dan akan serahkan jawatan itu kepada Anwar setelah dibebaskan kelak. Persoalannya, adakah Tun M akan ketepi semudah itu dan serah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar begitu sahaja? Kepada generasi baru yang tidak begitu mengenali Tun M, mari kita lihat kembali sejarah kepimpinan beliau…

Bagi mereka yang ingat zaman pemerintahan Tun M, pasti mereka tidak lupa dengan kekangan hak kebebasan bersuara, isu kronism yang melampau, usaha beliau menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang menentang beliau, dan yang paling penting, hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim. Kebijaksanaan Tun M untuk terus kekal berkuasa dan mengekalkan monopoli ekonomi kroni-kroni beliau jelas terserlah.

Generasi yang terlibat dengan gerakan Reformasi 1998 juga tidak akan lupa tindakan kejam Mahathir yang memecat, menuduh dan sekaligus memenjarakan Anwar pada waktu itu. Cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri terus terkubur begitu sahaja. 20 tahun kemudian, Tun M kononnya ‘berubah angin’ dan mahu bersekongkol dengan Anwar. “Kejutan besar?” Ya, tetapi ayat yang lebih tepat adalah adalah “kebijaksanaan besar” Tun M untuk memanipulasi Anwar sekali lagi.

Perlu diingat, ini bukan pertama kali Tun M bertukar fikiran demi agenda peribadi beliau. Berapa ramai Timbalan PM yang mula-mula dijulang kemudiannya dipecat ketika zaman pemerintahan kuku besi beliau? Sebelum Anwar adalah Ghafar Baba, dan Musa Hitam… semuanya dipecat. Setelah 22 tahun memerintah, beliau akhirnya berundur dan melantik Pak Lah menjadi PM pada tahun 2003. Kemudian Tun M tidak puas hati (dengan Pak Lah) dan menjatuhkan Pak Lah. Selepas itu Tun M kononnya “menaikkan” Dato Sri Najib sebagai PM. Selang beberapa tahun, Tun M tidak berpuas hati dengan Najib pula. Malang bagi Tun M, Dato Sri Najib “lebih kuat” dari Pak Lah dan tidak berundur semudah itu.

Akibat sangat terdesak, Tun M keluar UMNO dan masuk Pakatan Harapan. Perlu diingat, ini bukan kali pertama beliau keluar masuk UMNO. Matlamat beliau kali ini adalah untuk menjatuhkan Najib, kemudian beliau pasti akan ‘ubah angin’ sekali lagi dan akan kembali ke pangkuan UMNO sekiranya Najib berjaya diketepikan. Jadi, berdasarkan apa yang telah berlaku, adakah Tun M akan serah jawatan PM bulat-bulat kepada Anwar begitu sahaja? Pastinya tidak!

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply