Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, Nasi Lemak Politik

Pakatan Harapan Terdesak Berbincang Dengan EU

01/29/2018

Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad kini dilihat semakin terdesak dan begitu kalut dalam memikirkan strategi politik mereka bagi mendapatkan sokongan rakyat. Tindakan terdesak ini semakin jelas apabila baru-baru ini Tun M memimpin sekumpulan pemimpin PH mengadakan pertemuan dengan Duta-duta dari Kesatuan Eropah (EU). Apa yang dilakukan oleh Tun M ini jelas sesuatu yang tidak menyihatkan, khasnya kepada hubungan luar dan persahabatan diplomatik Malaysia dengan negara-negara EU.

Malah kini wujud kecenderungan PH terpaksa meminta bantuan dan mendapatkan pengabsahan pihak luar bagi melihatkan mereka sebagai pembangkang yang ‘bertauliah’. Malah pertemuan yang tidak diketahui butir perbincangannya itu juga memberikan lebih keraguan apakah sebenarnya bentuk strategi politik yang sedang dirangka pihak PH. Apa yang dibimbangkan lagi, pertemuan itu ialah sebagai satu usaha terdesak PH memberikan gambaran salah dan tidak berasas mengenai situasi negara kepada wakil asing.

Pertemuan berkenaan juga dilihat ramai sebagai tidak kena dengan tempatnya kerana kapasiti PH bukanlah wajar untuk mengadakan sebarang perbincangan bersifat diplomasi dan menyentuh tentang hubungan dua hala. Apa yang lebih menghairankan pertemuan berkenaan merupakan satu lagi tindakan Tun M yang dilihat sudah melupakan prinsip-prinsip yang ditanamnya sendiri. Di waktu pemerintahan beliau sebelum ini, Duta asing langsung tidak diberikan peluang untuk bertemu dengan pihak pembangkang, namun di waktu beliau sudah terlalu terdesak segala prinsip yang ditanam sendiri habis dilanggarnya.

Pertemuan berkenaan juga menimbulkan kebimbangan ramai apabila ada yang melihatnya sebagai kemahuan PH untuk mendapatkan campur tangan EU dalam isu setempat di negara ini, malah pertemuan berkenaan juga boleh dianggap tidak kena pada masa kerana Malaysia pada masa ini sedang melalui proses perbincangan mengenai isu minyak sawit di benua berkenaan. Nyata dalam keadaan ini PH lebih mengutamakan agenda kuasa dan politik kepartian berbanding kepentingan negara yang dibimbangi bakal terjejas.

Kegagalan PH untuk melihat isu diplomasi dalam ruang lebih luas membuktikan mereka tidak mempunyai pengalaman untuk menguruskan hubungan antarabangsa secara pragmatik dan berpaksikan realiti. Malah apa yang dibuat PH ini sebenarnya telah membelakangi Kementerian Luar Negeri yang sewajarnya dimaklumkan mengenai usaha dan pertemuan yang mahu dibuat. Malah sebarang butir perbincangan juga wajar dimaklumkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri.

Kegagalan PH berbuat demikian (menghubungi pihak Kementerian Luar Negeri) adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku kerana sebarang hal-hal yang dibincangkan sudah tentu berkaitan dengan apa yang terjadi kini dan setiap yang berlaku itu harus memiliki pertimbangan diplomasi yang jelas agar seiiring dengan dasar luar semasa negara. Hal berkaitan diplomasi dan hubungan luar ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah dan dilaksanakan atas kapasiti kepartian, ia mempunyai implikasi terhadap kepentingan negara dan hal ini yang gagal dilihat PH dengan jelas.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply