Aney Hipster & Rakan-rakan

Hormati Teguran Raja-Raja Melayu!

12/14/2017

Malaysia merupakan sebuah negara monarki berpelembagaan. Walaupun bukan berperanan sebagai pemerintah secara mutlak namun hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu di negara kita tidak wajar sama sekali dipertikai. Dalam suasana politik moden, kedudukan Raja-Raja Melayu di Malaysia masih kekal relevan sebagai penaung terpenting untuk kedaulatan negara. Raja-Raja menjadi lambang penyatuan utama rakyat Malaysia malah mempunyai fungsi yang nyata dalam perlembagaan dan sistem bernegara di tanah tumpah darah kesayangan kita semua ini.

Raja-Raja Melayu mempunyai kedudukan yang mengatasi politik, malah kedudukan ini memberikan ruang yang teratur kepada Raja-Raja Melayu untuk membuat teguran terhadap apa-apa perkara yang difikirkan mampu menggugat kesejahteraan dan kestabilan negara. Titah Raja-Raja Melayu tidak wajar dipandang enteng atau diperkecilkan, tetapi perlu diambil serius dan diberikan perhatian sewajarnya.

Amat jarang untuk Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan menegur segelintir individu, namun apabila teguran itu dibuat ia sudah tentu mempunyai kesan terhadap negara. Ini yang terjadi apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur Tun Dr Mahathir baru-baru ini. Sewajarnya teguran dari seorang Sultan itu disambut baik dari sudut yang lebih positif dan pembetulan segera wajar dibuat, namun Tun M mengambil langkah sinis apabila bertindak memulangkan pingat yang pernah dikurniakan Istana Selangor kepadanya dan isteri.

Tindakan Tun M itu jelas satu tindakan tidak wajar malah dilihat sebagai tidak menghormati kurniaan seorang Raja Melayu. Adakah dalam ruang dunia yang kian moden ini, institusi beraja di Malaysia tidak lagi dihormati? Ini satu perkara yang wajar dibimbangkan oleh rakyat Malaysia. Pembangkang dilihat dengan mudah melayan teguran seorang Raja Melayu dengan tindakan sinis dan ini merupakan satu contoh negatif yang tidak menghormati institusi ini.

Malah tindakan Tun M itu seolah-olah menerima sokongan kuat daripada Ahli DAP yang gemar melompat parti, Datuk Zaid Ibrahim. Zaid dalam laman Twitter beliau telah meminta Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Ini jelas menunjukkan wujud beberapa individu penting dalam kalangan pemimpin pembangkang yang tidak menghormati institusi beraja di negara kita.

Tindakan Zaid dan Tun M ini sebenarnya merupakan pengajaran penting buat kita rakyat Malaysia untuk menjauhi sikap seperti ini dan perlu lebih terbuka dalam mendengar teguran, lebih-lebih lagi jika teguran itu dibuat oleh Raja-Raja Melayu yang wajar dipandang tinggi. Teguran seorang Raja merupakan satu petanda bahawa Raja berkenaan mengambil berat tentang apa yang terjadi di dalam negara dan mahukan kedamaian dan keamanan dicapai demi kesejahteraan berterusan Malaysia.

Untuk itu, disarankan Tun M dan Zaid kembali menyemak, menghafal dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara. Lebih penting untuk kedua-dua pemimpin pembangkang ini memahami dengan mendalam prinsip pertama dalam Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply