Aney Hipster & Rakan-rakan

Benarkah Ekonomi Melayu Semakin Layu?

12/13/2017

Salam hormat saya ucapkan kepada para pembaca… Diharap semuanya dalam keadaan sihat dan baik-baik sahaja. Pada minggu lepas, semua diantara kita sedia maklum bahawa telah berlangsungnya satu Persidangan Agung UMNO (PAU) 2017 iaitu selama 5 hari bermula dari 5 hingga 9 Disember 2017 yang bertempat di Putra World Trade Center (PWTC), Kuala Lumpur. Secara keseluruhannya, Persidangan itu berjalan dengan selamat, lancar dan disambut dengan begitu bersemangat. Al-maklumlah, ini kan persidangan terakhir UMNO sebelum mengharungi gelombang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada tahun hadapan. Apapun, bukanlah isu politik yang mahu dikupas, akan tetapi isu tahap ekonomi Melayu yang ingin difokuskan dalam penulisan kali ini. Benarkah ekonomi Melayu kini semakin layu?

Seperti yang telah dinyatakan oleh Dr. Nazri Khan iaitu merupakan seorang Fellow di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, beliau menekankan beberapa isu contohnya kos sara hidup melonjak, pertumbuhan gaji yang perlahan, pengangguran naik, nilai ringgit jatuh, harga komoditi jatuh, saiz hutang meningkat, jurang kaya-miskin bertambah dan pemilikan saham serta hartanah Melayu masih menyedihkan. Adakah ini benar? Mungkin ada yang bersetuju dan mungkin ada yang kurang bersetuju dengan kenyataan beliau. Terpulang pada pendapat dan prinsip masing-masing.

Bagi penulis pula, ada kenyataan beliau yang dilihat sememangnya mempunyai asas… Namun pada hemat penulis juga, kedudukan ekonomi di Malaysia masih lagi kukuh dan sedang berada dilandasan yang tepat dimana ianya selari dengan perkembangan ekonomi global yang mencabar. Di sini jugalah kita dapat lihat bahawa sebahagian besar daripada rakyat Malaysia telah menikmati taraf hidup yang jauh lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Perkara ini bukannya penulis suka-suka tulis tapi ianya telah disahkan oleh Institute of Strategic and International Studies (Isis) berdasarkan kaji selidik perbelanjaan isi rumah yang telah dijalankan oleh mereka pada tahun 2016.

Trend ini dapat dibuktikan serta dikaitkan dengan rakyat Malaysia yang kini gemar memilih untuk membeli kereta jenama asing dan kurang memilih model pengeluar kereta kebangsaan iaitu Proton dan Perodua. Tengok sajalah kebanyakan orang-orang muda yang baru mula kerja sekarang, gaji RM2,500.00 terus nak pakai Honda City. Selain itu, kaji selidik yang dijalankan oleh Isis ini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dilihat kurang berbelanja untuk membeli barangan keperluan asas rumah dan lebih suka berbelanja di Restoren-restoren luar. Tengok sajalah restoren-restoren fast food bila sampai masa lunch hour, pasti penuh. Lepas tu complaint duit sentiasa tak cukup… Penulis faham, walaupun bukan diaplikasikan oleh semua, namun ini membuktikan bahawa ramai rakyat Malaysia tak kira dari mana bangsa sekali pun, telah mengecapi taraf kehidupan yang tinggi dan selesa.

Disamping itu, data terkini yang diperolehi dari Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa sepanjang tiga tahun yang lalu, nilai urus niaga yang dibuat ke atas kad kredit Malaysia di luar negara telah mencatatkan kenaikan yang mantap. Jumlah tersebut adalah RM10.9 bilion pada tahun 2015, dimana sebelum meningkat kepada RM12.3 bilion pada 2016 dan sudah mencecah RM13.2 bilion sehingga Oktober tahun ini. Malah, menurut BNM, nilai pendahuluan tunai pada kad kredit Malaysia di luar negara telah meningkat sebanyak 68.9% untuk 10 bulan pertama pada tahun 2017 berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2015.

Seterusnya, berkenaan dengan pertumbuhan pasaran telefon mudah alih di Malaysia. Yang ini pun satu isu juga… Ianya boleh diklasifikasikan sebagai penunjuk ekonomi yang semakin pesat dan isu penurunan nilai matawang ringgit yang tidak mempunyai kesan ke atas ekonomi dan rakyatnya. Mana taknya, nilai import telefon bimbit lebih tinggi daripada import makanan utama seperti beras, susu dan krim, kopi, bawang, kelapa, kacang soya, jagung, susu dan lain-lain. Selain itu, data dari BNM menunjukkan bahawa dalam sembilan bulan pertama tahun 2017, nilai telefon bimbit yang diimport ke Malaysia berjumlah RM6.85 bilion. Fuhhh!

Berkenaan dengan GST pula, memang diakui terdapatnya peningkatan harga barang keperluan asas harian dalam tempoh masa dua tahun ini… Namun pergerakan didalam peningkatan gaji juga telah berlaku sejak dari lapan tahun yang lalu dan ini sedikit sebanyak membantu kita dalam mendepani kos sara hidup yang telah meningkat. Dan untuk makluman, sejak dari tahun 2009 lagi, purata pendapatan bulanan isi rumah di Malaysia telah meningkat dari masa ke semasa dan kumpulan pendapatan isi rumah yang berstatus bawah 40 peratus ini telah berkembang dengan kadar yang pantas.

Begitu juga dengan isu pengangguran, dimana negara kita telah berjaya mengekalkan kadar pengangguran tidak melebihi empat peratus sejak dari tahun 1995. Perkara ini dapat dilihat dalam krisis kewangan global 10 tahun lalu yang mana telah menyebabkan kemerosotan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) Malaysia pada ketika itu, namun ianya tidak mencatatkan peningkatan dalam rekod melebihi dari empat peratus tersebut.

Jadi, setakat itu dululah perkongsian kali ini…seperti yang telah dikatakan oleh Dr. Nazri Khan, penulis juga terpanggil dengan rintihan rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu khususnya yang sedang menempuh satu keadaan ekonomi dan politik yang sangat mencabar sekarang. Penulis juga berharap pihak kerajaan terus memperjuangkan serta membela nasib bangsa Melayu. Sekian.

Wasalam!

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply