Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, Nasi Lemak Politik

Pembangkang Bahas Isu Pembebasan Anwar Di Parlimen

11/29/2017

Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen merupakan ruang untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan kepentingan negara dan kebajikan rakyat. Kedua-dua Dewan ini dipandang sebagai badan terpenting dalam aspek penggubalan undang-undang. Ia bukan ruang untuk menimbulkan sebarang isu bersifat peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan negara secara menyeluruh.

Hari ini Dewan Rakyat dikejutkan dengan tindakan Ahli Parlimen Padang Serai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba untuk membuat usul tergempar bagi membolehkan Parlimen membahaskan isu berkaitan usaha pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini jelas merupakan satu tindakan luar dugaan kerana isu pemenjaraan Anwar bukan satu isu yang menyentuh tentang kepentingan negara.

Tindakan Ahli Parlimen PKR ini dilihat sebagai satu percubaan untuk menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan berpolitik dan mempertahan pemimpin sendiri. Amat hairan untuk hal berkaitan pemenjaraan Anwar ini dibangkitkan sebagai satu usul tergempar sedangkan seluruh institusi mahkamah telah membuat keputusan dan Parlimen tidak mempunyai kewajaran untuk membahaskan isu berkenaan.

Ahli Parlimen pembangkang juga jelas tidak memahami prinsip pengasingan kuasa antara badan kehakiman dan legaslatif kerana sebarang usaha membangkitkan kembali hal berkaitan pemenjaraan Anwar sedangkan hal berkenaan telah diputuskan mengikut lunas badan kehakiman adalah jelas satu bentuk campur tangan dalam bidang kuasa kedua-dua badan berkenaan. Ini bertentangan dengan prinsip perlembagaan negara.

Selain itu, berasaskan kepada Peraturan Tetap Dewan Rakyat sesuatu usul tergempar itu harus mematuhi beberapa syarat penting dan yang paling utama ialah hal berkaitan kesegeraan serta menyentuh tentang kepentingan umum. Jelas dalam keadaan ini hal berkaitan Anwar bukan satu hal yang terkait dengan kepentingan umum. Ia Cuma satu usaha terdesak PKR membebaskan Anwar kerana parti berkenaan sedang berdepan dengan krisis kepimpinan yang kritikal.

Kenyataan Ketua Pembangkang juga dari PKR selepas itu turut dilihat tidak wajar. Ketua Pembangkang dengan mudah menyimpulkan bahawa lawatan YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri semasa Anwar berada di hospital ialah satu petunjuk penting bahawa Anwar merupakan tahanan politik. Kenyataan ini jelas satu usaha untuk mengelirukan rakyat kerana lawatan YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri hanya bersifat kemanusiaan dan bersesuaian dengan amalan politik matang.

Mahkamah telah memutuskan Anwar disabitkan dengan kesalahan jenayah dan tidak ada asas untuk mengaitkan beliau sebagai tahanan politik. Malah meminta Parlimen membahaskan mengenai pembebasan Anwar pula membuktikan pembangkang masih keliru antara Parlimen dan Mahkamah.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply