Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, Nasi Lemak Politik

BN Memacu Pendemokrasian Bermaklumat

11/28/2017

Membuat dakwaan tanpa melakukan sebarang penyelidikan terperinci merupakan kesilapan berulangan yang sering dilakukan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat. Sepanjang perjalanan persidangan pada kali ini, kita dapat menyaksikan bagaimana pelbagai bentuk kesilapan fakta dilakukan dengan sengaja atau tidak disengajakan tetapi jelas mahu mengelirukan rakyat daripada mengetahui perkara sebenar.

Antara perkara yang nyata ialah beberapa percubaan untuk menggambarkan Kerajaan sebagai tidak melaksanakan agenda perubahan termasuk dari aspek pengukuhan demokrasi dan kebebasan media. Media rasmi Kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan sasaran paling mudah pihak pembangkang dan sering melontarkan dakwaan bahawa stesen radio dan televisyen ini memberikan liputan berat sebelah.

Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail misalnya semasa mengemukakan soalan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah meminta RTM supaya bebas dan adil serta memberikan liputan saksama kepada semua parti politik termasuk pembangkang. Apa yang diucapkan Wan Azizah ini jelas satu percubaan untuk melihatkan RTM sebagai media berat sebelah dan tidak berlaku adil kepada parti politik selain daripada Barisan Nasional (BN).

Ini merupakan dakwaan yang tidak benar. Berdasarkan kepada senario semasa RTM di bawah pentadbiran Kerajaan BN kini sedang memacu perubahan besar-besaran ke arah pendemokrasian maklumat termasuk perbincangan secara terbuka hal-hal politik. Misalnya beberapa rancangan bual bicara RTM di waktu Perdana di sebelah malam melihatkan bagaimana perbincangan diadakan dengan baik termasuk pandangan yang kritikal terhadap dasar-dasar Kerajaan. Di samping itu, RTM turut memberikan ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk dijemput sebagai ahli panel dan memberikan pandangan.

Hal ini jelas tidak pernah berlaku semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan di era YB Datuk Seri Najib Razak segala-galanya telah berubah. Pentadbiran BN di era ini merupakan pentadbiran yang meraikan kepelbagaian dan demokrasi. Ini satu hal yang langsung tidak dapat dinafikan. Mengapa dalam hujah yang dibangkitkan, Ahli Parlimen Permatang Pauh langsung tidak mahu memaklumkan tentang usaha-usaha positif yang sedang dilakukan RTM? Adakah Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak menonton siaran RTM, tetapi bercakap hanya sekadar mahu melemparkan kritikan kosong?

Selain itu, pembaharuan paling nyata dilakukan RTM ialah bekerjasama dengan saluran televisyen kendalian UNIFI melalui Telekom Malaysia untuk menyiarkan siaran langsung perbahasan di Parlimen tanpa ada sebarang tapisan dan siaran ini ke udara setiap hari dan sepanjang masa tempoh perbahasan. Mewujudkan satu saluran televisyen khas untuk Parlimen dan dapat ditonton rakyat Malaysia di seluruh negara merupakan satu usaha yang sangat baik.

Malah laman web rasmi Parlimen Malaysia turut menyediakan pautan siaran langsung perbahasan Parlimen. Ini semua merupakan transformasi demokrasi dan kebebasan maklumat yang digerakkan oleh Kerajaan BN kini. Jelas perubahan seperti ini tidak mendapat sambutan pembangkang dan tiada sebarang kata-kata positif diberikan. Namun, pembangkang lebih selesa melemparkan kritikan kosong bagi memastikan rakyat terpedaya untuk melihat Kerajaan yang ada sebagai tidak bertanggungjawab.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply