Aney Hipster & Rakan-rakan, Nasi Lemak Politik, Tosainomics

Gerakan Demonstrasi Minyak AMANAH Usaha Sia-Sia

11/17/2017

Gerakam Demonstrasi Minyak AMANAH Kerja Sia-Sia

Harga minyak yang kini diapungkan mengikut pasaran dunia dan ditentukan pada setiap minggu sedang menunjukkan trend kenaikan. Ramai yang tidak memahami secara menyeluruh mekanisme penentuan harga minyak melalui kaedah pasaran seperti ini. Harga minyak Malaysia bukan lagi seperti zaman subsidi penuh dahulu yang melihatkan paras kenaikan atau penurunan ditentukan oleh Kerajaan.

Kini harga minyak di Malaysia tergantung kepada apa yang berlaku di pasaran global. Ini terkait dengan pelbagai keadaan termasuk harga di negara-negara utama pengeluar minyak, situasi semasa dunia dan kadar nilai mata wang Ringgit berbanding Dollar yang menjadi mata wang asas perdagangan minyak dunia.

Penentuan minyak dunia melalui harga pasaran ini amat bergantung kepada dua aspek terpenting iaitu nilai mata wang kita dan kuasa beli yang ada pada rakyat Malaysia di samping faktor lain termasuk pendapatan perkapita. Seperti kita sedia maklum nilai Ringgit berbanding Dollar kini sedang melalui tempoh yang agak menyukarkan justeru hal ini amat memberi kesan kepada harga minyak yang bersandarkan kepada faktor pasaran.

Selain itu, kuasa beli yang ada di tangan rakyat juga amat mempengaruhi bagaimana nilai harga minyak itu ditentukan. Kuasa beli yang tinggi akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan ini terkait dengan hal berkaitan pendapatan perkapita.

Kerajaan hari ini bukanlah Kerajaan yang hanya duduk diam dan tidak berbuat apa-apa untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat. Kerajaan kini mempunyai pelan jangka panjang untuk meningkatkan kuasa beli dan pendapatan perkapita di Malaysia. Usaha ini telah dijelmakan melalui pembentangan Bajet 2018 yang lalu. Pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat telah diumumkan termasuk galakan dalam bidang perniagaan dan pengukuhan pendidikan yang membolehkan peningkatan peluang pekerjaan pada skala gaji lebih tinggi.

Soal harga minyak ini bukan berkait dengan komoditi berkenaan semata-mata, namun terkait dengan hal berkaitan pengurusan ekonomi secara menyeluruh. Memandangkan harga minyak Malaysia kini ditentukan pasaran, maka campur tangan Kerajaan untuk mengurangkan kesan daripada kenaikan ini datang dari sudut polisi fiskal dan pembangunan yang sedia dilihat sebagai bertanggungjawab.

Secara asasnya penarikan balik subsidi minyak oleh Kerajaan ini telah memberikan keupayaan peruntukan kira-kira RM22 bilion setahun kepada Kerajaan untuk menggunakannya ke arah perbelanjaan kesejahteraan rakyat yang lebih penting. Misalnya penyediaan perumahan, kemudahan kesihatan dan perkhidmatan pendidikan berkualiti tinggi. Berdasarkan kepada perkiraan rambang, 70 peratus golongan berpendapatan tinggi mendapat manfaat daripada subsidi ini berbanding hanya 30 peratus rakyat biasa. Sehubungan itu, sistem harga minyak berdasarkan kepada harga pasaran memberikan ruang harga lebih adil dan stabil.

Namun, seperti biasa pembangkang tidak mahu melihat hal ini secara menyeluruh dan lebih gemar mengheret rakyat ke kancah demonstrasi dan menyuarakan pandangan tanpa mendapat penjelasan yang wajar. Misalnya Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) merancang untuk mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga minyak di Parlimen mulai Selasa depan.
Ini satu tindakan tidak wajar kerana hal ini sepatutnya dibincangkan secara terbuka berasaskan kepada hujah dan fakta bukan memperguna rakyat seperti ini untuk mendapat keuntungan politik dan meraih nama serta populariti. Barangkali ini merupakan kesempatan terbaik yang perlu direbut barisan Pemuda AMANAH untuk mendapat tiket bertanding dalam pilihan raya umum akan datang selepas kepimpinan parti berkenaan seperti tidak yakin dengan mutu kepimpinan muda yang ada di dalam parti berkenaan.

Usaha demonstrasi yang mahu diadakan oleh Parti AMANAH ini merupakan satu usaha yang sia-sia dan mereka masih tidak mahu belajar tentang keadaan semasa yang melihatkan rakyat sudah jemu dengan budaya politik jalanan, tetapi memilih budaya politik yang matang dan sejahtera. Jika tidak percaya, kita saksikan nanti, drama dari Pemuda AMANAH ini dan kita akan dapat melihat hadirin demonstrasi itu hanya dalam penyokong tegar parti berkenaan sahaja.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply