Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, Tosainomics

Sejarah Hitam MAS Di Bawah Mahathir

10/21/2017

Sejarah Hitam MAS Di Bawah Mahathir

SEBAIK sahaja Peter Bellew mengesahkan pengundurannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS, bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir pantas menuduh campur tangan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib sebagai punca perletakan jawatan CEO syarikat penerbangan negara itu.

Campur tangan yang dimaksudkan Mahathir itu dipercayai merujuk kepada pertemuan antara Najib dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 13 September lalu di mana kerajaan telah memutuskan untuk membeli beberapa pesawat tambahan. Antaranya termasuklah 25 buah pesawat 737-MAX 10, lapan pesawat 787 Dreamliners selain kebarangkalian untuk menambah sebanyak 24 atau 25 lagi pesawat 737 dalam masa terdekat.

Apa pun yang cuba disampaikan Mahathir, matlamatnya hanyalah mahu rakyat melihat Najib sebagai dalang yang sedang ‘meruntuhkan’ MAS. Tetapi dakwaan sedemikan adalah dakwaan kosong dan tiada isi. Dalam satu kenyataan, Bellew pantas menafikan tuduhan tersebut. Kata Bellew, kerajaan langsung tidak pernah masuk campur dalam urusan kerjanya. Malah, beliau turut memberikan kredit kepada Khazanah Nasional Berhad atas sokongan padu yang diberikan sepanjang perkhidmatannya, baik dalam aspek peribadi mahupun korporat.

Zaman Kegelapan MAS

Tuduhan yang Mahathir pantas tujukan kepada Najib tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan mengaburi mata rakyat mengenai sejarah hitam MAS di bawah kepimpinannya dahulu. Apa yang sedang dilalui MAS kini adalah satu proses baik pulih setelah beberapa lama ‘dihancurkan’ Mahathir. Tentulah proses baik pulih itu perlu memakan sedikit masa.

Bagi yang masih ingat, titik kejatuhan dan krisis pengurusan MAS ini sebenarnya bermula sejak lebih 20 tahun yang lalu iaitu sewaktu Mahathir menjadi perdana menteri. Pada 1994, MAS yang pada ketika itu begitu kukuh dan stabil telah dibeli kepentingannya oleh Tan Sri Tajuddin Ramli melalui pinjaman yang dibuat dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan. Pinjaman itu dianggarkan bernilai hampir RM 1.8 billion.

Dipendekkan cerita, krisis kewangan dan ekonomi yang menyerang negara pada 1997 telah menyebabkan kepimpinan dan pengurusan Tajuddin di MAS terjejas. Maka pada tahun berikutnya, kerajaan membuat keputusan untuk membeli semula kepentingan MAS daripada Tajuddin dengan nilai yang lebih sekali ganda daripada nilai sebenar pasaran. Bayangkan, harga saham MAS pada tahun 1985 yang pada ketika itu bernilai RM 11.50 seunit boleh jatuh menjunam kepada hanya RM 0.27 seunit sewaktu di zaman kejatuhannya.

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

Kejatuhan MAS dan keadaannya yang hampir bankrap pada waktu itu sebenarnya bukanlah berpunca daripada krisis ekonomi semata-mata. Nasib malang MAS dalam tempoh tersebut sebenarnya berkait rapat dengan salah urus tadbir dan ketidakcekapan Tajuddin sepanjang beliau menjadi CEO MAS. Sejak pengambilalihan semula oleh kerajaan pada 1998, MAS terus mencatat kerugian ratusan juta ringgit saban tahun. Malah pada tahun-tahun tertentu, syarikat penerbangan negara itu mengalami kerugian mencecah lebih RM 1 billion.

Akibat daripada siri kerugian yang dicatatkan inilah yang menyebabkan MAS terpaksa menjual pelbagai aset di dalam dan luar negara bagi perjalanan operasi syarikat dan menyerap kerugian. Menjelang 2001 iaitu tahun di mana Tajuddin meninggalkan MAS secara sepenuhnya, kerugian yang dicatatkan MAS adalah sekitar RM 9.4 billion. Alangkah banyaknya jumlah tersebut! Dan kita tidak perlu memerah otak untuk meneka siapa pemimpin nombor satu negara pada ketika itu.

Jadi sebelum Mahathir menuding jari menyalahkan Najib mengenai prestasi MAS yang perlahan pada ketika ini, beliau terlebih dahulu perlu melihat ‘kehancuran’ yang telah beliau cipta sewaktu pemerintahannya dahulu. Pengurusan MAS di bawah pentadbiran Mahathir adalah yang terburuk sepanjang penubuhan syarikat tersebut. Salah tadbir urus yang berleluasa selain urusan pengagihan tender dan projek yang tidak telus ‘mewarnai’ pengurusan MAS pada ketika itu. Kalau hendak disebutkan betapa teruknya amalan kronisme dan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran MAS dalam tempoh tersebut, Mahathir tentunya akan termalu sendiri.

MAS Di Landasan Tepat

Apa yang sedang diusahakan Najib kini adalah untuk kebaikan MAS dalam jangka masa panjang. Pesawat-pesawat baharu yang hendak dibeli dari AS itu bukanlah untuk suka-suka menghabiskan duit. Pembelian itu sememangnya sudah dikaji lebih awal oleh MAS memandangkan pajakan mereka sudah pun hampir berakhir. Pemergian Bellew pula tidaklah perlu dilihat sebagai satu petanda buruk buat MAS memandangkan syarikat penerbangan negara itu sememangnya sedang berada di landasan yang tepat dalam pelan pemulihan yang bermula sejak tiga tahun lalu.

Pengumuman MAS semalam yang melantik Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) yang baharu bermula 1 Disember kelak sewajarnya disambut dengan nafas lega terutamanya oleh beberapa kelompok nasionalis yang sebelum ini begitu menentang kehadiran orang asing dalam pengurusan syarikat penerbangan negara itu. Mempunyai pengalaman selama kira-kira 38 tahun dalam bidang penerbangan, rakyat tentunya teruja untuk melihat kembali kepimpinan orang tempatan seperti Izham dalam memacu pengurusan MAS dengan lebih cemerlang selaras dengan 12 perkara yang telah direncanakan dalam Pelan Pemulihan Malaysian Airlines (MRP).

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply