Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, Nasi Lemak Politik

Perhimpunan Antikleptokrasi Gagal Tarik Sokongan

10/15/2017

Perhimpunan Antikleptokrasi Gagal Tarik Sokongan

Semalam berlangsung perhimpunan antikleptokrasi anjuran Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor. Walaupun pihak polis tidak bersetuju untuk perhimpunan berkenaan diadakan di lokasi berkenaan, namun pihak PH masih berdegil dan melanggar arahan pihak polis. Namun begitu, ucapan tahniah harus diberikan kepada pihak polis kerana masih tetap profesional mengawal keamanan dan kesejahteraan sepanjang perhimpunan berkenaan berlangsung.

PH pada awalnya meletakkan sasaran kehadiran lebih 100,000 rakyat di perhimpunan berkenaan dan sasaran berkenaan mungkin dilihat PH sebagai realistik berasaskan kepada sokongan diterima di media sosial dan sambutan terus-terusan yang dipercayai PH diterima dalam isu melibatkan hal-hal kleptokrasi seperti didakwa termasuk kes 1MDB. Walaupun beberapa hari sebelum ini pernah dilaporkan kempen mengajak rakyat menyertai perhimpunan berkenaan tidak mendapat sambutan, namun angka 100,000 itu kekal dan tidak diubah.

Pada hari kejadian semalam, jumlah kehadiran dari pagi hingga ke malam kekal konsisten dengan ramai pengamal media menganggarkan jumlah kehadiran kekal konsisten sekitar 5,000 ke 8,000 orang sahaja. Ini satu angka yang terlalu jauh dari sasaran 100,000 ditetapkan. Melalui jumlah kehadiran ini sahaja kita boleh membuat kesimpulan perhimpunan ini telah gagal dan tidak langsung menarik minat rakyat untuk menyertainya.

Namun begitu, sektretariat perhimpunan cuba membaiki imej dengan menganggarkan jumlah kehadiran mencecah 25,000 orang dan jumlah ini boleh dianggap sebagai angka yang direka semata-mata demi melihatkan perhimpunan berkenaan diterima ramai. Media pro PH seperti Malaysiakini juga memberi anggaran sekitar 8,000 orang sahaja yang hadir dan ini jelas bukan satu tindakan propaganda media pro Barisan Nasional (BN), tetapi realiti semasa yang berlaku.

Rakyat sebenarnya boleh dilihat tidak lagi berminat untuk mendengar dendangan ceramah sama dengan laungan berapi-api, rakyat sebenarnya sudah masuk ke fasa bertenang dan hanya menunggu masa untuk membuang undi sahaja. Rakyat sudah terlalu biasa mendengar segala isi ceramah yang disampaikan dan kepercayaan perhimpunan seperti ini mampu mengubah pola sokongan terhadap parti pilihan juga tidak memberikan banyak kesan. Anjakan yang berlaku selepas sesuatu perhimpunan itu berlangsung juga adalah terlalu sedikit.

PH sememangnya terkenal dengan modus operandi kempen berasaskan perhimpunan dan perarakan untuk mempamer sokongan massa terhadap segala kempen yang digerakkan, cuma kali ini di perhimpunan antikleptokrasi ini tidak ada apa-apa yang baru boleh diceritakan. Ia hanya satu bentuk pengumpulan maklumat lama yang dilaungkan semula dalam nada sedikit berlainan. Namun, kesannya tidaklah menyeluruh dan kukuh. Strategi seperti ini tidak harus dilaksanakan secara sembarangan, strategi mengadakan perhimpunan hanya wajar dibuat jika terdapat matlamat jelas dan kuat.

Tanpa matlamat seperti itu, kita hanya boleh melihat perhimpunan seperti itu hanya dihadiri penyokong tegar PH dan bukan rakyat yang benar-benar mahu mengetahui kebenaran.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply