Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, Nasi Lemak Politik

Adakah Demokrasi Menghalang Guru Memilih Dalam Politik?

10/13/2017

Guru merupakan komponen terpenting dalam sesebuah sistem masyarakat kerana pendidikan ialah kunci kepada kejayaan sesebuah bangsa dan guru ialah individu terpenting dalam mengupayakan pendidikan dalam jiwa anak-anak muda. Pengaruh yang dimiliki golongan ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi dan penghormatan yang sering diberikan masyarakat menjadikan profesion guru sebagai antara yang utama di negara ini.

Jadi tidak hairan untuk kita melihat bagaimana guru juga mampu menjadi seorang pemimpin berpengaruh dan jika terjun ke dunia politik, mereka mampu mendapatkan sokongan rakyat setempat dengan mudah. Ini kerana guru sentiasa dipandang tinggi dan dianggap memiliki sikap keilmuan yang matang. Malah YB Menteri Pendidikan kini juga merupakan bekas guru dan pencapaian politik yang dilalui beliau juga melalui saat-saat yang membanggakan.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Kementerian Pendidikan melalui YB Menterinya sendiri telah memaklumkan bahawa pihak Kementerian tidak akan menghalang guru-guru untuk menyokong mana-mana parti politik termasuk parti pembangkang. Beliau juga dengan tegas menyatakan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi terbuka dan guru-guru bebas membuat pilihan mengikut kesesuaian mereka. Beliau menegaskan bukan soal siapa yang dipilih, tetapi rakyat perlu menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai seorang pemilih.

Kenyataan ini jelas satu kenyataan matang dan terbuka serta harus dipuji. Jelas di sini Kementerian Pendidikan dan Kerajaan kini bukan sebuah kerajaan yang mengongkong kebebasan rakyat, tetapi berjaya menonjolkan imej sebagai sebuah kerajaan yang bersedia mendengar suara rakyat melalui saluran demokrasi yang betul. Rasa hormat yang dizahirkan YB Menteri Pendidikan terhadap kuasa rakyat juga datang tepat pada masanya dan harus dihargai.

Sebelum ini pembangkang selalu menggunakan isu bahawa Kerajaan mengawal penjawat awam dan tidak membenarkan mereka memilih selain daripada Kerajaan, maka tohmahan pelbagai dibuat termasuk menyatakan Kerajaan boleh mengetahui parti mana yang dipilih oleh penjawat awam. Tohmahan tidak benar ini telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham dan ini jelas merupakan satu niat serong semata-mata. Hari ini kenyataan terbuka yang dibuat oleh YB Menteri Pendidikan ini sebenarnya melegakan dan meredakan perasaan rakyat yang mempercayai sistem demokrasi di Malaysia.

Apa yang penting kini bukan lagi soal memilih parti yang mana, kerana itu ialah soal individu dan pilihan dibuat berdasarkan kepada citarasa masing-masing. Namun, apa yang lebih penting ialah bagaimana penjawat awam, khususnya guru sebagai golongan yang berpengaruh harus mendaftar sebagai pengundi. Berdasarkan kepada statistik semasa, kira-kira 86 peratus daripada 425,000 guru di seluruh negara telah mendaftar sebagai pengundi dan angka ini juga jelas menunjukkan guru-guru mempunyai kesedaran politik dan demokrasi yang tinggi.

Namun diharapkan baki 14 peratus atau kira-kira 60 ribu guru di luar sana yang masih belum mendaftar dapat melaksanakannya segera demi menunaikan tanggungjawab besar untuk membentuk masa depan negara. Guru ialah pembimbing yang akan membentuk pemikiran dan keperibadian murid. Maka kepercayaan penuh guru terhadap sistem demokrasi di negara ini bakal mencorak pemikiran sama dalam jiwa anak-anak muda. Jadi kepada semua guru-guru, ayuh jalankan tanggungjawab dan pilihlah dengan cermat apabila tiba musimnya nanti.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply