Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, Tosainomics

Kuala Lumpur Disanjung Pelancong

09/22/2017

Baru-baru ini dalam siaran bertarikh 17 September 2017, salah sebuah akhbar terkemuka di Australia, Daily Telegraph telah menerbitkan rencana khas yang memberikan laporan positif terhadap ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur. Akhbar berkenaan menyifatkan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang kaya dengan kepelbagaian adat, budaya dan makanan yang mampu menarik perhatian pelancong. Dalam laporan berkenaan turut menyebut mengenai kesesuaian untuk berjalan kaki untuk merasai pengalaman sebenar dan menyeronokkan di Kuala Lumpur.

Daily Telegraph menganggap sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur amat menarik untuk digunakan kerana begitu selesa dan lancar di samping mempunyai struktur tambang yang murah dan menjimatkan. Walaupun kadangkala sesak, namun pilihan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT amat memuaskan. Kuala Lumpur juga dianggap sebagai kota yang memberikan kemudahan kepada pelancong dan tidak sukar untuk mereka menemui tempat tempat menarik.

Akhbar berkenaan juga memuji Kuala Lumpur sebagai kota yang mesra kepada pelancong, khasnya sikap kebanyakan rakyat Malaysia yang peramah, sopan, bertoleransi dan menarik perhatian. Lebih menggembirakan pelancong ialah kebanyakan rakyat Malaysia tahu berbahasa Inggeris dengan mudah dan ini membuatkan pelancong lebih selesa untuk meneroka Kuala Lumpur. Sikap warga Malaysia yang gemar membantu juga membuatkan ramai pelancong berasa selamat untuk berada di ibu kota negara ini.

Perkara terpenting yang disebut tentang Kuala Lumpur oleh akhbar ini ialah keenakan dan keunikan makanan di Malaysia. Malaysia disifatkan sebagai syurga makanan dengan pelbagai citarasa. Bukan sekadar makanan tempatan, malah makanan antarabangsa juga boleh dinikmati dengan mudah di negara ini. Tambahan pula harga makanan di gerai-gerai yang menyelerakan ini disifatkan sebagai sangat berpatutan. Kewujudan pasar malam juga dilihat sebagai sesuatu yang unik dan menghidupkan Kuala Lumpur. Segala-galanya boleh dinikmati dan ini membuktikan Kuala Lumpur merupakan kota utama di dunia dan menjadi tumpuan terpenting untuk sektor pelancongan.

Di waktu media luar negara begitu bersungguh-sungguh mengangkat Malaysia sebagai destinasi yang baik dan popular melalui ulasan-ulasan pelancongan yang positif, masih terdapat dalam kalangan warga Malaysia yang tidak menghargai keadaan ini. Ada di antara kita yang masih sanggup memburuk-burukkan negara di mata dunia dan melihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang teruk di mata antarabangsa. Kita sebagai warga Malaysia sewajarnya menghargai setiap yang datang dari negara kita, malah orang luar sebenarnya sentiasa melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang menggembirakan.

Tohmahan pihak pembangkang yang meletakkan Malaysia seolah-olah negara sedang meleset dari sudut ekonomi dan taraf sosial juga sebenarnya satu bentuk ejekan politik semata-mata serta tidak berasaskan kepada fakta jelas. Malah kritikan terhadap projek MRT dan ECRL sebelum ini juga boleh dibenamkan kerana jelas kemudahan seperti ini bukan sahaja memberikan manfaat besar kepada penduduk Malaysia, malah sangat dihargai oleh pelancong dari luar negara.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply