Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, You Kuai Viral

Kenapa Umat Islam Suka Menjatuhkan Sesama Sendiri?

09/21/2017

CUKUP sedih melihat keadaan orang Melayu yang beragama Islam pada ketika ini yang berusaha menjatuhkan sesama sendiri sekali gus menyebabkan berlakunya perpecahan yang cukup serius dalam kalangan orang Melayu.

Kenapa semua ini terus berlaku? Adakah menjadi sifat orang Melayu dan Islam untuk menjatuhkan sesama sendiri?

Terbaharu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria me­la­hirkan rasa sedih me­lihat orang Melayu yang berusaha menjatuhkan sesama sendiri. Jika kita baca pendapat-pendapat sarjana dunia yang mengkaji mengenai hal ehwal manusia dan undang-undang, semuanya mengatakan Islam itulah yang paling baik.

Kita tengok orang India dan Cina, mereka juga berselisih dari segi politik tetapi tidak dari segi kaum mereka. Namun, orang Melayu, sedikit sahaja perselisihan pendapat, tidak bertegur sehingga sanggup memutuskan silaturahim. Padahal kata nabi, perbezaan pendapat itu merupakan satu rahmat kerana ia membuka pemikiran supaya kita menjadi lebih maju.

Tetapi adakah orang Melayu sebenarnya menjadi semakin maju apabila berbeza pendapat?

Ketahuilah, yang paling utama dianjurkan dalam Islam ialah perpaduan seperti diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika penghijrahan umat Islam ke Madinah. Sekiranya orang Melayu kembali menya­yangi kaum sendiri dengan menghormati setiap pendapat orang lain, maka mereka akan bersatu.

Lebih-lebih lagi, orang Melayu sepatutnya berbangga kerana tiada bangsa lain di dunia ini yang disebut sebagai Islam seperti tercatat dalam Perlembagaan negara. Tetapi malangnya, kita lihat parti Melayu kini sudah berapa banyak dan kemudian lawan caci-mencaci, saman di mahkamah, bongkar rahsia itu dan ini.

Sampaikan isu mengenai haiwan yang disembelih pun timbul, contohnya pertikaian orang PAS tidak akan makan ayam yang disembelih oleh orang UMNO kerana hukumnya haram.

Siapa kita untuk menentukan ayam atau haiwan yang disembelih oleh orang UMNO atau PAS itu adalah haram? Apa pula hukumnya kita minum air kopi atau makan di kedai orang Cina? Ada juga kejadian, apabila emaknya meninggal dunia, ada orang Melayu tidak mahu menziarah hanya disebabkan perbezaan pendapat.

Itu keadaan orang Melayu yang tidak matang dalam pemikiran mereka.

Adakah penolakan kepada ketuanan Melayu menjadi punca orang Melayu beragama Islam berpecah?

Akhir-akhir ini, isu berkaitan ketuanan Melayu yang mencorak perlembagaan negara ini mula dinyatakan semula oleh individu-individu tertentu. Saban hari di media sosial pasti ada sahaja yang tidak berpuas hati dan rata-rata isu ini ditonjolkan secara terbuka. Mungkin tujuan mereka kerana ingin meraih populariti murahan ataupun sekadar ingin melonjak nama, apatah lagi pilihan raya umum begitu hampir.

Ironinya, mereka yang meng­utarakan perkara ini mungkin secara sengaja atau tidak mengetahui bahawa ketuanan Melayu itu bukanlah satu dokumen yang wujud secara nyata. Bahkan ia sekadar manifesto persetujuan secara bersama antara pimpinan kaum sejak sekian lama dahuli.

Untuk memahami feno­mena ini, paling penting kita hendaklah mengimbau kembali sejarah, terutama pada zaman di ambang pra kemerdekaan. Jika dikaji dokumen yang membawa kepada kemerdekaan, antara prasyarat utama yang diletakkan oleh penjajah British dalam membebaskan negara ini daripada cengkaman mereka ialah kesemua kaum yang ingin berbumbungkan Tanah Me­layu sebagai tanah tumpah negara mereka hendaklah boleh duduk secara aman dan harmoni.

Maka bertitik tolak daripada syarat mencapai matlamat memerdekakan negara, satu kompromi antara kaum perlu dilaksanakan segera.

Atas usaha inilah Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Al-Haj memulakan satu inisiatif perbincangan de­ngan teraju MCA yang ketika itu diterima ramai sebagai satu institusi yang mewakili kepentingan kaum Cina serta MIC yang dianggap pertubuhan mewakili kaum India telah duduk semeja dan berbincang mencari jalan keluar terhadap permasalahan ini.

Antara topik yang diperbincangkan adalah mengenai de­ngan hak kerakyatan bagi penduduk Tanah Melayu.

Di­sebabkan kaum Cina dan India adalah kaum yang dibawa masuk British untuk memajukan negara ini, mereka bukanlah penduduk asal Tanah Melayu berbanding orang Melayu. Mereka perlu memohon untuk mendapat ­kerakyatan.

Berdasarkan sifat orang Melayu yang tinggi toleransinya telah memudahkan bagi kaum lain untuk menjadi warga Tanah Melayu. Atas sifat ingin bersama inilah menyebabkan hampir kesemua mereka yang ingin kekal di sini diberi kerakyatan. Sebagai membalas jasa orang Melayu ini, kaum lain bersetuju untuk memberikan hak keistimewaan orang Melayu sebagai sesuatu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi bagi sesebuah negara. Tujuan Perlembagaan diwujudkan adalah untuk mengendalikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah negara agar menjadi licin dan saksama.

Perlembagaan juga menjadi punca kepada segala perundangan lain yang wujud dalam sesebuah negara.

Secara amnya, Perlembagaan mengandungi satu set hak, kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara kerajaan dalam sesebuah negara dan antara pemerintah dengan rakyat.

Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah. Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.

Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan dinafikan.

Sedarlah wahai orang Melayu, jika kita berpecah siapa yang akan rugi?

Bukan diri kita sendiri dan sudah tentu anak-anak kita pada masa depan. Jadi, adakah kita mahu perpecahan terus berlaku dalam kalangan orang Melayu? Apa peranan dan tanggungjawab kita?

Bersatulah dan apa yang penting, penyatuan itu tidak boleh lari atau tersasar dari terus utuh berpaksikan agama Islam.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply