Featured, Tosainomics

Ya, Memang Saya Jumpa Geely, Tapi Untuk Kerjasama – Dr. M

06/01/2017

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan pernah cuba menjual kepentingan Proton kepada Kumpulan Geely Holding seperti yang didakwa beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN), sebaliknya berkata ia sekadar membuat lawatan ke China sebagai salah satu usaha memperbaiki kualiti enjin kereta nasional itu.

Pengerusi PPBM itu berkata, selepas bersara jawatan perdana menteri, beliau pernah melakukan lawatan kerja ke China ditemani Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang memiliki DRB-Hicom yang menguasai Proton.

“Kita mencari jalan untuk memperbaiki kereta, dan satu caranya ialah mendapatkan enjin,” katanya dalam sesi soal-jawab secara langsung menerusi Facebook ‘live’ hari ini.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin minggu lalu mengkritik Dr Mahathir kerana mempertikaikan perjanjian Geely membeli kepentingan Proton sebanyak 49.9%, dengan berkata cadangan serupa pernah dibangkitkan 3 tahun lalu apabila pengerusi Proton itu meminta pembuat kereta China itu memulihkan semula Proton.

Pada 24 Mei, DRB-Hicom mengumumkan menjual 49.9% sahamnya dalam Proton kepada Geely, yang juga merupakan pemilik Volvo Car Group dari Sweden.

Proton merupakan cetusan idea Dr Mahathir selepas mengambil alih jawatan perdana menteri pada 1981.

Susulan kemasukan Geely, Dr Mahathir berkata apa-apa kejayaan kereta itu selepas ini tidak lagi boleh dianggap kejayaan Malaysia, slogan yang kerap dipromosikan ketika kereta itu dilancarkan pada 1985.

“Saya tidak boleh berbangga mengenai sesuatu yang bukan milik saya atau negara saya. Mungkin rakyat Malaysia yang lain, tapi bukan saya,” tulisnya.

Dr Mahathir hari ini berkata sebelum melawat Geely, beliau melawat Volvo di Sweden.

“Geely beli Volvo, yang merupakan pakar enjin. Saya ke Sweden untuk mencuba kereta Volvo, kemudian baru pergi Geely,” katanya.

Menurutnya, langkah itu tidak berbeza dengan cadangan mengadakan kerjasama dengan Volkswagen tidak lama dulu.

Cadangan menjadikan pembuat kereta Jerman itu rakan kongsi bagaimanapun gagal.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai tuduhan beliau bukan pakar Proton di samping dakwaan beliau sendiri tidak menggunakan jenama kereta itu.

“Saya selalu menggunakan kereta Proton untuk ujian. Saya membawa semua kereta Proton setiap hujung minggu.

“Kereta lain saya bukan pemandu, saya duduk belakang. Bagi Proton, saya memandu sendiri,” kata bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu, sambil menambah pernah memandu sebuah Proton “berenjin kecil” ke Genting Highlands. – FMT

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply