Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured, You Kuai Viral

Krisis Rohingya: Kita Wajar Dahulukan Nilai Kemanusiaan

09/06/2017

SEJAK krisis kemanusiaan di wilayah Arakan (Rakhine) kembali meruncing bulan lalu, dianggarkan hampir 100,000 orang dari etnik Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh dalam cubaan mereka menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa keganasan yang tercetus di Myanmar.

Krisis yang semakin hangat ini telah membawa kepada satu perbahasan dengan dimensi yang baharu dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai negara jiran, Malaysia sememangnya terkesan secara langsung. Krisis yang tidak berpenghujung ini bermakna Malaysia terdedah kepada kebanjiran pelarian etnik tersebut.

Dalam hal ini, rakyat Malaysia mempunyai dua pendapat yang berbeza. Jika sebelum ini rata-rata rakyat melahirkan rasa simpati dan bersolidariti untuk nasib pelarian Rohingya, kini sudah kedengaran begitu banyak suara yang menggesa kerajaan untuk tidak lagi memberi perlindungan kepada pelarian etnik tanpa negara ini.

Alasannya mudah, etnik Rohingya dikaitkan dengan pelbagai sikap negatif seperti degil, keras kepala, suka memberontak dan pengotor. Mereka dikatakan akan membawa pelbagai kerosakan kepada masyarakat dan lambakan mereka di negara ini dikhuatiri akan mengganggu gugat kestabilan sosial yang sedia ada.

Malah, ada yang memberikan perumpamaan menolong mereka seolah-olah melepaskan anjing yang tersepit. Benarkah begitu?

Sejarah Rohingya

Secara ringkasnya, Rohingya merupakan kumpulan etnik yang berasal dari Asia Selatan. Etnik ini telah pun secara turun temurun menduduki wilayah Arakan sejak kurun ke-8 di bawah satu kerajaan yang merdeka.

Sekitar kurun ke-9 hingga 14, etnik Rohingya ini mula dikenalkan dengan Islam melalui hubungan mereka dengan pedagang-pedagang Arab ketika itu. Dalam tempoh ini juga, hubungan yang erat dijalinkan antara Arakan dengan Bengal.

Walau bagaimanapun, pada kurun ke-18 iaitu pada tahun 1784, peperangan dengan Dinasti Konbaung iaitu sebuah kerajaan Buddha yang diperintah Raja Bodawpaya telah menyebabkan Arakan ditakluk dan mengakibatkan sejumlah ratusan ribu orang dari etnik Rohingya melarikan diri ke Bengal. Maka Arakan pada ketika itu menjadi wilayah Burma.

Kurun berikutnya sekitar tahun 1825, British mula menakluk Burma dan menjadikannya sebagai satu wilayah British yang berpusat di India. Dalam membangunkan pelbagai projek infrastruktur mereka di jajahan baru itu, ramai pekerja yang berasal dari pelbagai wilayah British-India yang lain dikerahkan berpindah dan bekerja di Burma.

Nasib Rohingya bertambah buruk pada 1942 apabila Jepun berjaya mengalahkan British sekaligus menawan Burma. Dengan pengunduran British, golongan nasionalis Burma telah bangkit menyerang komuniti Muslim di sana yang sebelum itu berada di bawah pemerintahan koloni British.

Penjajahan Jepun ke atas Burma walau bagaimanapun tidak bertahan lama apabila British kembali menakluk negara itu pada 1945 dengan bantuan golongan nasionalis yang dipimpin oleh Jeneral Aung San, iaitu bapa kepada Aung San Suu Kyi.

Harapan Rohingya yang pada awalnya disangkakan cerah di bawah pemerintahan British walau bagaimanapun hancur berkecai apabila penjajah kulit putih itu mengkhianati janji mereka untuk memberikan autonomi kepada wilayah Arakan.

Nasib malang Rohingya tidak terhenti di situ. Pada 1948, Burma mencapai kemerdekaan daripada British di mana wilayah Arakan yang sebelum itu sudah ratusan tahun tiada kaitan dengan Burma akhirnya dihadiahkan pula British kepada negara yang baru merdeka itu.

Sejak tarikh itu, nasib orang Rohingya di Burma mengalami turun naik dengan kemuncak keganasan ke atas mereka berlaku setelah peristiwa rampasan kuasa oleh tentera pimpinan Jeneral Ne Win di Burma pada 1962.

Siri keganasan ke atas Rohingya yang didalangi ektremis Burma dan sekelompok Sami Buddha sejak lima dekad yang lalu sehinggalah ke hari ini menyaksikan ratusan ribu Rohingya menjadi pelarian manakala ribuan yang lain pula terbunuh.

Peranan Tersembunyi Israel

Fakta-fakta sejarah yang ditampilkan ini sekaligus menyanggah hujah yang mengatakan bahawa orang Rohingya bukanlah penduduk asal Arakan. Jika dikaji dengan teliti, kita akan mendapati krisis yang berlaku ini begitu mirip dengan kekejaman Yahudi di Palestin di mana pengusiran penduduk dari tanah asal mereka dilakukan secara terancang dan tersusun melalui propaganda palsu yang dicanang kepada masyarakat antarabangsa.

Mungkin ramai yang belum tahu Israel sebenarnya turut memainkan peranan dalam krisis yang berlaku di Myanmar. Israel dilaporkan telah menjual lebih 100 kapal perisai dan pelbagai senjata lain selain bot-bot yang digunakan untuk aktiviti pemantauan di kawasan sempadan Myanmar.

Syarikat persenjataan Israel seperti TAR Ideal Concepts dikatakan telah terlibat secara langsung dalam melatih pasukan khas Myanmar yang kini berada di Rakhine, tempat berlakunya keganasan ke atas orang Rohingya.

Persepsi Umum Terhadap Rohingya

Mengatakan Rohingya itu etnik yang bermasalah dan memberontak mungkin ada asasnya jika sikap sebahagian mereka yang telah sedia ada di Malaysia menjadi ukuran. Namun, perbuatan memberontak itu perlu difahami konteks dan puncanya.

Pengalaman mereka dinafikan hak untuk hidup, ditindas, diperlakukan dengan kejam di mana kanak-kanak didera, orang-orang tua diseksa dan wanita pula diperkosa menjadi asbab kepada sebahagian daripada mereka untuk bangkit memberontak. Sebahagian besar yang lain pula hanya mampu melihat dengan penuh kedukaan tanpa sebarang daya untuk melawan.

Justeru, untuk ‘memukul rata’ etnik tersebut hanya bersandarkan kepada beberapa insiden kecil dirasakan amatlah tidak adil. Sebagaimana wujud beberapa kelompok Melayu, Cina ataupun India yang bermasalah di negara ini, maka adalah tidak wajar untuk masyarakat menghukum keseluruhan bangsa-bangsa ini turut bermasalah. Dakwaan-dakwaan yang didatangkan tanpa bukti tidak sepatutnya dijadikan asas untuk kita menghukum.

Peranan Kita

Walau sedalam mana pun kegusaran kita terhadap masalah yang boleh ditimbulkan oleh pelarian Rohingya di Malaysia, kita sepatutnya mendahulukan nilai kemanusiaan. Malaysia sebagai sebuah negara Islam terdekat wajar mengambil tindakan yang lebih objektif berkaitan isu ini. Tindakan yang sekadar mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Myanmar tidak akan membawa apa-apa erti, jauh sekali membela nasib Rohingya.

Dan sebagai rakyat khususnya orang Islam, isu ini usah dipandang sebelah mata. Ketika dunia melihat ini sebagai krisis kemanusiaan, kita perlu melihat isu ini dengan perspektif yang selangkah di hadapan.

Rohingya adalah etnik yang hampir keseluruhannya Muslim dan kekejaman yang menimpa mereka sejak puluhan tahun ini samada sedar atau tidak sebenarnya didalangi ektremis Buddha. Maka wajarlah kita melihat krisis ini sebagai isu agama.

Berkongsi kepercayaan yang sama, kita seharusnya lebih sensitif dengan nasib malang yang menimpa mereka. Kita faham jika rata-rata rakyat Malaysia tidak mahu melihat kebanjiran mereka di negara ini. Siapa pun tentu sahaja tidak mahu mereka menetap lama di sini. Tetapi setidak-tidaknya kita perlu bangkit menyokong perjuangan mereka untuk mendapatkan kembali segala hak yang sekian lama dinafikan.

Sehingga perkara itu mereka perolehi, kita perlu memainkan peranan yang termampu dalam mempersiapkan mereka. Jika mereka dilabel dengan pelbagai sikap negatif, ini masanya untuk umat Islam ‘mendidik’ mereka untuk berubah. Kalau bukan kita sebagai orang Islam, siapa lagi yang boleh mereka harapkan?

Jika kita fikir Malaysia negara yang tersepit, mereka jauh lebih tersepit. Rohingya wajar dilihat sebagai etnik minoriti yang paling malang di dunia. Mereka tiada kerakyatan dan tiada tempat untuk dituju. Jika memilih untuk tetap tinggal di Myanmar, mereka pasti akan diseksa dan diusir. Menjadi pelarian, dihalau balik pula.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply