Aney Hipster & Rakan-rakan, Tosainomics

Bukti Ekonomi Kukuh Di Bawah Najib Razak

09/03/2017

Artikel Dr. Bruce Gale yang disiarkan dalam edisi bercetak The Straits Times di Singapura pada 1 September lalu membuktikan ekonomi Malaysia di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada dalam keadaan baik.

Artikel itu bertajuk, ‘Najibnomics has been good for Malaysia’s economy’ (Najibnomics memberi kesan baik bagi ekonomi Malaysia).

Siapakah itu Gale?

Gale ialah bekas rakan kongsi Political and Economic Risk Consultancy yang berpangkalan di Hong Kong dan ketika ini menyediakan khidmat penyelidikan, analisis dan editorial bebas kepada sektor swasta.

Gale menyifatkan keba­nyakan pihak di negara ini bersikap tidak adil dengan mengabaikan pencapaian eko­nomi Malaysia di bawah kepemimpinan Najib.

Sebahagian rakyat atau pembangkang lebih gemar memperbesar-besarkan kemelut di dalam negara yang sebenarnya tidak langsung menjejaskan ekonomi.

Antara pencapaian di bawah Najib ialah kemampuan memperbaiki struktur sistem subsidi, pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) secara tersusun dan pelancaran pelbagai program bagi memenuhi keperluan hidup golongan berpendapatan menengah dan rendah.

Ekonomi Malaysia berkembang lebih tinggi berbanding purata antarabangsa, tetapi Najib tidak diberikan pujian.

Secara realiti di bawah kepemimpinan Najib, dasar-dasar ekonomi Malaysia adalah tersusun dan penstrukturan subsidi dan GST adalah sangat penting kepada negara.

Agak malang apabila kebanyakan pihak mengeluarkan pandangan tan­pa memikirkan sumba­ngan yang diberikan oleh Perdana Menteri.

Sebagai contoh, kontroversi ditimbulkan bahawa pentadbiran Najib membuatkan hutang kerajaan sehingga Jun 2016 berjumlah RM655.7 bilion menyamai 53.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), meningkat daripada 41 peratus pada akhir 2008.

Namun perlu ingat, pe­ningkatan mendadak itu berlaku pada 2009, apabila kerajaan terpaksa berbelanja besar bagi merancakkan ekonomi tempatan.

Perbelanjaan itu perlu bagi menyelamatkan negara yang terkesan akibat krisis hutang dunia pada masa itu.

Antara perkara yang sering disalah tafsir ialah mengenai kejatuhan ringgit sedangkan kemerosotan nilai mata wang itu berpunca akibat faktor luaran khususnya penurunan harga minyak.

Pada masa sama bagi pengkritik, tiada perkara yang lebih penting untuk mereka melainkan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) serta ulangan isu derma daripada Arab Saudi.

Adakah ekonomi Malaysia tiada kelemahannya?

Sudah pasti, ekonomi Malaysia masih mengalami beberapa kelemahan sistemik yang serius.

Antaranya produktiviti yang rendah, kekurangan perumahan mampu milik dan hutang isi rumah yang tinggi.

Bagaimanapun, ada petunjuk positif yang dicatatkan. Contohnya, walaupun negara membangun lain mencatat tahap produktiviti lebih tinggi namun produktiviti pekerja Malaysia meningkat pada kadar lebih pantas.

Bagi hutang isi rumah pula, adalah adil untuk menyatakan walaupun ia pada paras agregat, aset isi rumah masih mampu dipertahankan secara konsisten pada paras lebih dua kali ganda.

Dalam erti kata lain, isi rumah Malaysia lebih selesa dan positif dari segi aset.

Sementara itu, ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan pada kadar yang mengatasi purata antarabangsa.

Ia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2017 berbanding tempoh sama tahun 2016, lebihan akaun semasa yang meningkat dan pelaburan turut menokok sebanyak 7.4 peratus.

Angka terbaharu menunjukkan inflasi terkawal dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat hanya 3.2 peratus pada Julai lalu.

Realitinya, di bawah pentadbiran Najib, dasar-dasar makroekonomi Malaysia telah meluas secara ketara.

Namun harus diingat, pembangkang akan terus cuba memanipulasi realiti dengan memasukkan unsur emosi yang bertujuan sengaja menimbulkan kekacauan kepada minda masyarakat negara.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply