Featured, Nasi Lemak Politik

Adakah CAT retorik di Pulau Pinang?

08/15/2017

SEBELUM ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat keputusan tidak akan melepaskan jawatannya seperti didesak pelbagai pihak meskipun sedang dibicarakan di mahkamah atas dua pertuduhan rasuah. Guan Eng berdepan tuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran bersama seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon.

Kini, giliran Exco Kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh pula yang bertegas tidak akan melepaskan jawatannya meskipun sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Bukan soal melepaskan jawatan itu yang hendak dibangkitkan, tetapi berkaitan siasatan dijalankan SPRM.

Dalam isu Booh Poh misalnya, SPRM baharu sahaja hendak melakukan siasatan tetapi, sudah ada pihak yang ‘melompat’ dan bercakap yang bukan-bukan ketika siasatan. Guan Eng menyifatkan tindakan terhadap Boon Poh itu sebagai tidak adil kerana beliau percaya wa­kil rakyat berkenaan tidak mempunyai sebarang kepenti­ngan ke atas kilang berkenaan.

Guan Eng turut menyifatkan penahanan Ahli Exco Kerajaan Pulau Pinang itu sebagai satu tindakan tidak sepatutnya kerana Boon Poh sudah sedia kaya sekali gus tidak mungkin terlibat dalam sebarang kesalahan rasuah. Adakah pendirian Guan Eng itu boleh mengundang persoalan dalam kalangan rakyat bahawa adakah kepemimpinan DAP terlalu bersih sehingga mereka tidak boleh ditegur atau disiasat oleh pihak berkuasa melibatkan apa jua kesalahan?

Siapakah DAP ini untuk me­ngatakan kepemimpinan parti itu tidak akan berlaku sebarang kesalahan melibatkan rasuah atau salah guna kuasa hanya kerana pemimpin mereka seorang yang sudah kaya kerana harta warisan keluarganya? Reaksi sebegini sangat tidak masuk akal. Siapa sahaja pasti mengetahui gejala rasuah boleh berlaku tidak kira mereka itu miskin atau kaya, mereka tidak peduli perkara itu jika ada peluang untuk ‘buat duit’ melalui rasuah.

Jadi siapa kita untuk menafikan perbuatan itu berlaku atau tidak?

Juga dipersoalkan, bagaimana pula apabila ada pihak yang mempertahankan atau membela pihak yang belum terbukti bersalah?

Kenapa tidak dibiarkan sahaja, SPRM atau pihak berkuasa melakukan siasatan?

Merujuk kes di Penanti, kenapa ketika ini timbul pelbagai kenyataan sedangkan isu ini sudah lama dibangkitkan?

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin pernah membangkitkan perkara yang sama di Dewan Undangan Negeri (DUN). ADUN itu pernah menangis ketika membangkitkan isu itu pada tahun 2015. Wakil rakyat itu sekadar me­nyampaikan aduan penduduk Kampung Sungai Lembu yang sudah cukup menderita. Baginya, biarlah isu ini ditangani secara baik dan adil tanpa ada pihak yang dizalimi. Dr. Norlela juga pernah mendakwa, pihak berkuasa mengambil masa tiga tahun untuk merobohkan kilang haram di Ta­nah Liat.

Kenapa perlu mengambil masa yang lama? Lebih-lebih lagi di Pulau Pinang, negeri pimpinan DAP yang kononnya mentadbir secara bersih berasaskan pendekatan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama SPRM beserta tambahan 10 langkah integriti. 10 langkah integriti itu termasuk mengamalkan prinsip CAT, mengamalkan tender terbuka yang berdaya saing dan pengisytiharan aset oleh ketua menteri, exco dan wakil rakyat.

Selain itu, anggota pentadbiran dilarang mendapatkan kelulusan tanah negeri, keluarga mereka tidak boleh melakukan perniagaan atau mendapatkan kontrak dari kerajaan negeri dan tidak dibenarkan menerima ‘sumbangan’ peribadi. Selain itu perlindungan penuh kepada pemberi maklumat, peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan yang hidup di luar kemampuan dan ketelusan dalam sumbangan politik.

IBR telah ditandatangani bersama 10 langkah integriti, jadi kenapa mempersoalkan apabila SPRM mahu menyiasat exco Pulau Pinang? Jika tidak bersalah, Boon Poh tidak perlu takut, biarlah SPRM menyelesaikan siasatan dan berikan kerjasama.

Bagi kes di Penanti, aduan sudah dibuat, penduduk membuat bantahan dan rintihan dibangkitkan di DUN. Tindakan SPRM sekurang-kurangnya membuka mata semua pihak. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang jangan sekadar memberi perhatian terhadap gerai/kedai yang dikatakan tidak berlesen, kononnya mengganggu lalu lintas sedangkan di lokasi tertentu keadaan lebih teruk.

Buanglah sikap pilih kasih. Jangan terlalu cepat bertindak ke atas peniaga dan penjaja gerai yang sekadar mencari rezeki. Ada yang mahu berniaga kecil-kecilan di dalam rumah pun mahu diganggu de­ngan menyenaraikan pelbagai peraturan.

Kenapa isu-isu kecil begini begitu cepat mendapat perhatian? Kerja mudah, bawa lori, angkut kerusi meja atau tolak gerai de­ngan jentera, kemudian balik. Pemilik premis ditinggalkan mena­ngis kehilangan mata pencarian.

Apakah itu sahaja yang mampu dilakukan dengan kadar segera? Kenapa tidak diroboh sahaja kilang yang sudah sah haram sehingga menjejaskan kesihatan orang awam?

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) perlu menyahut cabaran Parti Alternatif Rakyat (PAP) yang meminta kedua-dua PBT itu mengeluarkan senarai kilang yang beroperasi secara haram.

Kita lihat sejauh mana keberanian PBT. Benarkah dakwaan PAP bahawa terdapat lebih 200 kilang haram di Pulau Pinang? Beranikah PBT menafikan atau menyenaraikan kilang berkenaan? Kita ingin lihat CAT bukan sekadar slogan yang enak didengar. Di bawah prinsip CAT juga, Guan Eng dan exco Pulau Pinang tidak seharusnya takut jika berdepan dengan siasatan pihak berkuasa termasuk SPRM.

Hanya pihak yang merasakan dirinya ‘kebal’ sahaja tidak boleh disiasat. Adakah Guan Eng dan barisan pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang ‘kebal’? Daripada segi tindakan mereka, seolah-oleh memperlihatkan mereka ‘kebal’.

Jika ‘kebal’ jangan takut. Berani kerana benar, takut kerana salah.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply