Aney Hipster & Rakan-rakan

Benarkah Malaysia Nikmati Momentum Ekonomi Memberangsangkan?

08/13/2017

Laporan prestasi ekonomi negara untuk 6 bulan pertama telah menunjukkan peningkatan yang baik jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun yang lalu. Bukan sekadar itu, pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini dilihat adalah di luar jangkaan kebanyakkan para penganalisis ekonomi.Pertumbuhan 5.6 peratus yang dicatatkan pada tiga bulan pertama tahun 2017 menunjukkan keupayaan berdaya saing ekonomi negara untuk terus berkembang. 

IMF dalam laporan terkini tentang perkembangan ekonomi dunia yang dikeluarkan telah membuat unjuran bahawa ekonomi dunia bakal tumbuh pada kadar 3.5 peratus pada tahun ini. Perkara ini dikatakan telah didorong oleh pertumbuhan positif dalam pelaburan dan perdagangan antarabangsa.

Selain itu, Pertubuhan Perdagangan Dunia dalam pada itu juga telah memberi respon yang baik terhadap pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang dijalankan oleh Malaysia. Perdagangan antarabangsa ini dijangka bakal berkembang pada kadar 2.4 peratus pada tahun ini.

Angka ini melihatkan pertumbuhan yang lebih baik dari angka yang telah dicatatkan pada tahun 2016 yang lalu iaitu hanya 1.3 peratus. Jadi, melalui situasi ini telah menunjukkan perkembangan yang baik bagi ekonomi dunia dan ianya dilihat lebih sekata jika dibandingkan dengan kebanyakan negara maju dan juga membangun.

Oleh yang demikian, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baik ini dapat dilihat daripada angka-angka petunjuk terkini yang dilaporkan. Sebagai lain-lain contoh, sektor luar telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan eksport tumbuh pada 32.5 peratus pada bulan Mei. Tahap peningkatan eksport ke negara rakan dagangan utama seperti China, EU dan Amerika Syarikat masing-masing telah mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 51.5 peratus, 14.9 peratus dan 16.3 peratus. Dalam masa yang sama, pertumbuhan yang baik dalam sektor luaran ini turut dinikmati oleh pelbagai industri di Malaysia dimana Indeks Pengeluaran Industri (IPI) pada bulan Mei tahun ini telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus.

Momentum terhadap permintaan bagi barangan keluaran negara pula dijangka akan kekal positif seperti yang dinyatakan dalam Indeks Pelopor yang mencatatkan pertumbuhan 1.2 peratus pada bulan Mei. Permintaan domestik juga dijangkakan akan terus kekal kukuh dibantu oleh sektor pekerjaan yang stabil.

Selain itu, kadar pengangguran dalam negara juga berada dalam kadar yang rendah iaitu hanya sebanyak 3.4 peratus sahaja seperti yang telah dicatatkan pada bulan Mei. Dalam pada itu kadar inflasi juga telah menurun ke paras 3.6 peratus pada bulan Jun.

Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang dapat menghalang atau merencatkan momentum pertumbuhan ekonomi semasa pada tahun ini. Antaranya ialah ketidaktentuan dasar polisi kewangan negara maju seperti AS dan Eropah yang boleh memberi kesan yang tidak begitu baik terhadap aliran modal. Dalam pada itu, situasi geopolitik semasa seperti ketegangan di Semenanjung Korea, Brexit, krisis di Timur Tengah juga boleh mempengaruhi iklim ekonomi dunia.

Ketidakstabilan harga komoditi berikutan perubahan dasar serta jumlah pengeluaran yang melebihi permintaan juga antara faktor yang boleh menjejaskan trajektori positif ekonomi global. Selain itu, pertembungan yang tidak sihat di antara negara-negara besar seperti AS dan China berkaitan isu perdagangan antarabangsa juga memberi ancaman terhadap pertumbuhan ekonomi global. Dasar isolasi dan perlindungan domestik juga dilihat antara cabaran yang dilihat boleh menggugat hala tuju ekonomi negara dalam jangkamasa terdekat.

Walaubagaimanapun, tahun 2017 ini dilihat akan bakal terus menunjukkan prestasi ekonomi yang baik bukan sahaja kepada Malaysia khususnya tetapi juga kepada dunia. Momentum yang baik sejak suku pertama tahun ini diharap akan terus berterusan hingga ke penghujung tahun ini.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply