Aney Hipster & Rakan-rakan

Apa Cadangan PH Jika GST Dihapuskan?

08/09/2017
PAKATAN Harapan yang diketuai DAP menyatakan akan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika pakatan itu berjaya mentadbir negara pada pilihan raya umum akan datang.

Isu mengenai GST bukan isu baharu yang didendangkan pembangkang khususnya Pakatan Harapan.

Sejak cukai itu dilaksanakan kerajaan pada 1 April 2015, sudah wujud tentangan daripada pembangkang termasuk mendesak kerajaan untuk menghapuskannya.

Bermula daripada situ jugalah pembangkang menguar-uarkan akan memansuhkan GST bila memerintah negara walaupun mereka sendiri mengakui perkara itu memerlukan masa untuk dilakukan.

Bagaimanapun, pembangkang sehingga kini belum menyatakan apakah cadangan mereka jika GST dihapuskan.

Sepatutnya, sebelum melaksanakan langkah itu, Pakatan Harapan perlu lebih awal mengumumkan mekanisme menggantikan GST kerana ia bukanlah satu kerja mudah.

Rakyat perlu dan mahu tahu apa kaedah yang mereka mahu gunakan.

Adakah pendekatan baharu itu akan memberi manfaat atau sebaliknya kerana impaknya diketahui umum amat besar kepada mereka.

Pakatan Harapan khusunya Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri tidak boleh berpuas hati dengan cadangan mereka.

Ini kerana setiap langkah yang diambil memiliki risiko yang akhirnya akan memburukkan lagi keadaan negara.

Sama ada mereka berpatah balik kepada perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau memperkenalkan kaedah baharu. Itu mungkin pilihan kepada mereka.

Namun perlu diakui setiap satunya bakal memberi kesan kepada negara secara keseluruhannya.

Ia mungkin mendatangkan ketidakstabilan pasaran dan keyakinan pelabur serta peniaga terhadap sistem itu sendiri jika terus dipolitikkan.

Kalau satu sistem itu termasuk GST dipolitikkan, maka negara pasti akan menghadapi satu ketidakstabilan dari sudut persepsi ekonomi.

Adakah ini yang diinginkan oleh pimpinan Pakatan Harapan?

Adakah Pakatan Harapan diketuai DAP akan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal (CGT) jika menang PRU-14?

Ini kerana, perkara itu pernah dinyatakan oleh Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang merupakan perancang dan jurucakap bajet pembangkang.

Apakah itu CGT?

CGT adalah cukai yang dikenakan dan dipungut dari hasil keuntungan penjualan dan urusniaga (transaksi) saham-saham, bon-bon, emas dan opsyen saham seperti ESOS (Employee Share Option Scheme – Skim Saham Pilihan Pekerja) dan sebagainya.

ESOS adalah skim insentif bukan berbentuk wang yang diberikan majikan kepada pekerja mereka untuk berkongsi risiko syarikat. Jika untung ada imbuhan, jika rugi tidak dapat apa-apa.

Dengan kata lain, hasil keuntungan penjualan saham individu atau syarikat yang diurusniagakan di Bursa Saham atau yang bertukar tangan akan dikenakan cukai yang ditetapkan peratusan sudah tentu oleh Pakatan Harapan jika mereka melaksanakannya.

Di bawah sistem CGT, keuntungan ASB tentu akan dikenakan cukai.

Ini termasuklah saham-saham amanah yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi meningkatkan ekuiti dan aset rakyat yang majoritinya Melayu dan bumiputera.

Ianya seperti ASN, ASB, ASW, ASM, ASD, ASG dan AS1M yang diperkenalkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Begitu juga dengan saham-saham amanah yang diwujudkan atau yang diurusniagakan oleh agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat Pusat atau kerajaan negeri.

Ini termasuklah juga urusniaga saham oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, saham koperasi dan sebagainya.

Selama ini keuntungan dari penjualan atau pemberian bonus dan dividen ke atas simpanan saham-saham amanah ini dikecualikan oleh kerajaan Malaysia dari dikenakan sebarang cukai CGT.

Tapi dengan perlaksanaan CGT, maka setiap transaksi akan dikenakan cukai.

Persoalannya, adakah ini cara halus yang difikirkan oleh Pakatan Harapan untuk menghakis kekuatan ekonomi rakyat terutamanya bumiputera yang selama ini kebal dilindungi oleh kerajaan selaras dengan Perlembagaan?

Umum pastinya sudah mengetahui GST adalah satu langkah pembaharuan dasar kewangan sistem pengutipan hasil sedia ada untuk menjamin negara tidak mengalami kepincangan ekonomi pada masa akan datang.

GST diperkenalkan untuk memperluaskan skop kutipan hasil ke arah memperkasakan ekonomi negara agar kerajaan dapat menampung per­belanjaan negara yang kian meningkat.

Sistem cukai ini juga diperkenalkan agar kerajaan tidak banyak bergantung kepada kutipan cukai daripada sumber cukai pendapatan yang umumnya dikutip daripada individu-individu atas ganjaran dan daripada syarikat-syarikat atas keuntungan yang diperolehnya.

Malaysia bukan negara perintis dalam mengamalkan GST. Negara yang paling awal melaksanakan GST di dalam dunia adalah Perancis pada 1954.

Negara yang paling awal melaksanakan GST di ASEAN adalah Indonesia, iaitu pada 1984. India pula adalah negara yang terbaharu melaksanakan GST dengan kadar cukai lima sehingga 28 peratus.

Apakah hasil daripada GST?

Untuk tahun 2017, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan GST sebanyak RM42 bilion.

Sehingga kini, kira-kira 433,000 syarikat didaftarkan di bawah GST sejak cukai itu dikuatkuasakan.

Pada 2016, kutipan GST adalah RM41.2 bilion iaitu melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM38.5 bilion.

Pelaksanaan GST mampu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas pendapatan individu dan korporat selain meningkatkan hasil cukai serta mengelakkan berlakunya ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

GST bertujuan menggantikan SST yang diperkenalkan sejak 1972.

GST tidak membebankan rakyat kerana pengecualian diberikan ke atas barangan keperluan seperti produk-produk pertanian serta makanan asas.

Jadi, usahlah Pakatan Harapan dan Mahathir hanya berbicara mahu menghapuskan GST dan mencari salah kerajaan melaksanakan sistem cukai itu.

Tampillah dengan idea serta cadangan baharu supaya ekonomi negara terus berkembang dan rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Seperti kata-kata generasi muda TN50 hari ini; ‘PH janganlah sembang kencang sampai pokok pun boleh tumbang’.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply