Mereka faham penggunaan jargon ini. Saya juga ingin meniru rentak yang sama. Saya gunakan jargon pertumbuhan 4.8 peratus bagi merujuk kepada unjuran kadar pertumbuhan ekonomi 2017 yang mampu dicapai oleh Malaysia, sepertimana yang dilaporkan oleh International Monetary Fund (IMF), beberapa hari lepas. Prestasi ini mengatasi unjuran dibuat sebelum ini pada kadar 4.5 peratus saja.

Bila kita singkap kembali laporan unjuran ekonomi dunia menjelang 2050 yang diterbitkan oleh PwC pada Februari lepas, pencapaian ini konsisten dengan apa yang diunjurkan. PwC menyasarkan Malaysia akan kekal berada dalam kelompok 32 negara di dunia yang dikategorikan sebagai Negara Berpertumbuhan Tinggi (Fast-growing Nations), di mana kadar pertumbuhan tahunannya tidak kurang daripada 4.0 peratus.

Jika dilihat pada prestasi semasa, IMF mengunjurkan pertumbuhan tahunan ekonomi dunia bagi tahun 2017, sekitar 3.5 peratus. Malaysia berada dalam kelompok yang dikategorikan sebagai emerging economies, dengan purata pertumbuhan 4.5 peratus. Ekonomi negara-negara maju terutamanya anggota OECD, diunjurkan tumbuh sekitar 2.0 peratus saja.

Oleh itu apabila Malaysia mencapai pertumbuhan 4.8 peratus maknanya ekonomi negara ini berada di paras pertumbuhan yang kekal progresif, jauh lebih baik dari kebanyakan negara di dunia.

Bagi orang awam, kefahaman mereka mengenai pertumbuhan 4.8 peratus itu berbeza-beza. Mereka yang terlibat dalam bisnes pastinya merasa lebih lega kerana petunjuk itu memberikan gambaran atau prospek pertumbuhan ekonomi lebih memberangsangkan.

Bagi golongan pekerja, pertumbuhan 4.8 peratus tersebut tidak memberikan impak ketara secara langsung kepada mereka, kecuali jika mereka pergi melancong ke luar negara dan membuat pertukaran wang, barulah mereka dapat merasakan tempiasnya.

Betul, jika dibandingkan kadar tukaran asing (AS$ vs RM) tahun 2012 pada kadar RM3.09 (AS$1)dan menjunam ke paras RM4.13 (AS$1) pada masa ini, pastinya keadaan seperti itu mencemaskan kita. Pun begitu, pertumbuhan 4.8 peratus yang diunjurkan ini turut melegakan kita kerana anjakan itu turut mempengaruhi kadar tukaran asing (kukuh 4.3 peratus), maknanya RM membuat sedikit pengukuhan.

Apa yang meyakinkan pihak IMF untuk membuat semakan semula unjuran pertumbuhan itu dan melonjakkannya dari unjuran awal 4.5 peratus kepada 4.8 peratus.

Peningkatannya hanya 0.3 peratus sahaja, tetapi bukan saiz peningkatan itu yang penting, sebaliknya, peningkatan sebanyak itu pun sudah memadai untuk mewujudkan sentimen positif kepada pasaran dan pelaburan.

Bagi para pelabur dan pengurus dana, mereka lebih cenderung melihat apa yang ada di sebalik pertumbuhan 4.8 peratus itu. Pastinya mereka membelek-belek setiap helai laporan setebal 90 halaman yang diterbitkan oleh IMF itu.

Tentunya perhatian mereka tertumpu kepada isu-isu utama yang dipaparkan oleh IMF. Saya ingin berkongsi di sini enam isu utama itu, dengan huraian secara ringkas agar ia tidak terlalu akademik atau terlalu teknikal; –

1 – Kemampanan terhadap kejutan ekonomi

IMF memberikan gambaran bahawa di sebalik iklim ekonomi global yang tidak menentu, ekonomi Malaysia mampu mengekalkan prestasi menggalakkan beberapa tahun yang lepas, menjadikan ia antara beberapa negara berpertumbuhan tinggi, dalam kelompok negara-negara yang berada pada paras pendapatan hampir sama.

2- Unjuran pertumbuhan ekonomi

Konsisten dengan beberapa laporan unjuran yang dihasilkan oleh banyak pihak, unjuran pertumbuhan GDP (KDNK) Malaysia mampu berada sekitar paras 4.5 peratus setahun.

3- Dasar fiskal

Dasar fiskal bagi tempoh jangka sederhana, terutama menjelang 2020, dikatakan stabil kerana ia dipasakkan kepada usaha penyatuan fiskal yang sudah pun dimulakan dalam tahun 2017 ini.

4- Dasar kewangan

Sekalipun aktiviti perbankan stabil, IMF memberikan pandangan khusus kepada beberapa aktiviti kewangan, terutama berkaitan isi rumah dan sektor pembinaan. Ini kerana hutang isi rumah masih berada pada paras yang wajar diperbaiki.

5- Keanjalan kadar tukaran asing

Kadar tukaran asing yang lebih anjal pada masa kini menjadikan ekonomi Malaysia mampu tangani kejutan ekonomi yang mungkin berlaku, misalnya disebabkan oleh pengaliran keluar-masuk pelaburan dan dana.

6- Dasar-dasar transformasi

IMF juga mengkaji kekuatan pelan-pelan pembangunan negara dan melihat RMK 11 misalnya, sebagai satu pelan dan dasar yang pragmatik dan realistik.

Jika badan-badan antarabangsa seperti IMF ini yang mempunyai reputasi tersendiri dan seringkali kritikal, berani menyatakan pandangan mereka mengenai senario ekonomi Malaysia yang dilihat realistik, kita wajar menilai perkara ini dari sudut yang sama .

Pun begitu, perlu juga diingat, pertumbuhan 4.8 peratus tidak menjanjikan semua bisnes akan terus berkembang. Dalam apa keadaan sekalipun akan ada bisnes yang berkembang tetapi akan ada juga yang gulung tikar. Itu adalah lumrah dalam bisnes. Pertumbuhan 4.8 peratus juga tidak menjamin semua peluang pekerjaan akan dapat dikekalkan. Ramai yang akan hilang pekerjaan tetapi ada juga peluang pekerjaan baru diwujudkan.

Mereka yang gulung tikar atau hilang pekerjaan pastinya tidak gembira sekalipun dengan adanya pertumbuhan 4.8 peratus. Mereka yang masih bekerja atau masih menjalankan bisnes boleh merasa lega tetapi dengan waspada. Ia memandangkan pertumbunan 4.8 peratus tidak menjanjikan mereka selamat melusuri gelombang Industri 4.0 peratus. Gelombang itu akan lakukan banyak disruption kepada bisnes dan pekerjaan sedia ada. Industri 4.0 peratus juga akan mempengaruhi kemampuan Malaysia mengekalkan pertumbuhan 4.8 peratus. Jika ekonomi Malaysia merasa selesa dan gagal beranjak seiring dengan revolusi yang sudah pun dimulakan oleh Industri 4.0 peratus, prestasi pertumbuhan 4.8 peratus tidak akan mampu bertahan.

Untuk itu, pertumbuhan 4.8 peratus wajib diikat bersama ledakan Industri 4.0 peratus. Mereka yang dalam bisnes wajib memikirkan apakah teknologi baru yang mampu menjadikan bisnes mereka kekal relevan. Mereka yang bekerja wajib mengintai apakah kerja-kerja baru lebih relevan seiring dengan revolusi Industri 4.0 peratus itu. Para pembaca sekelian wajar berkongsi kedua-dua perkembangan ini, Pertumbuhan 4.8 dan Industri 4.0 untuk mengikuti perkembangan yang terlalu pantas berlaku. – Utusan Malaysia