Featured, Nasi Lemak Politik

Kajang ke Sungai Buloh, Reformasi ke Transformasi

07/25/2017

Ahad lalu, seorang anak muda menceritakan kepada saya bagaimana kereta api Transit Aliran Massa (MRT) memudahkan perjalanannya untuk pergi menghadiri Seminar Pemikiran Reformis yang di Kelab Golf Diraja Selangor di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Beliau yang tinggal di Sungai Ramal menaiki bas perkhidmatan kereta api dari rumahnya untuk ke stesen MRT Kajang dan turun dekat Razak Exchange yang dalam pembinaan.

Beliau kemudian berjalan melalui bangunan Johor Corp, Kedutaan Besar Indonesia sebelum menyeberangi Jalan Tun Razak untuk ke kelab golf itu.

Perjalanan kaki dari stesen Razak Exchange ke kelab golf itu agak jauh tetapi baginya sebagai anak muda tidaklah sesuatu yang menyusahkan.

MRT memberikan kemudahan besar bagi warga Lembah Klang yang selama ini dan terus akan mengalami masalah kesesakan lalu lintas.

Bagi pihak kerajaan, MRT bukan saja merupakan salah satu projek dalam kerangka Program Transformasi yang diisytiharkannya apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri pada 2009 tetapi juga merupakan antara perkara bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh markah politik menjelang pilihan raya umum ke-14.

Maka dinyatakanlah bahawa MRT adalah hadiah perdana menteri kepada rakyat. Malah beliau juga disebut sebagai Bapa Pengangkutan Awam.

Ternyata, bukan saja MRT tetapi juga keseluruhan pengangkutan awam menjadi sebahagian daripada isu politik.

Di pihak pembangkang, masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang sentiasa menjadi bahan bagi menunjukkan kelemahan kerajaan. Sementara kerajaan pula menjadikan pembaikan pengangkutan awam sebagai pencapaian mereka.

Kajang dan Sungai Buloh

Politik MRT ini pula bertambah menarik apabila kebetulan 2 terminal akhir bagi kereta api itu ialah Kajang dan Sungai Buloh. Kedua-duanya di Selangor tetapi laluannya merentas Kuala Lumpur berhampiran mercu tanda bermakna seperti Parlimen, Muzium Negara dan Stadium Merdeka.

Bangunan Parlimen adalah institusi tertinggi rakyat sementara Muzium Negara menjadi tonggak jati diri negara bukan saja bagi Malaysia tetapi entiti politik sebelumnya menjangkau zaman prasejarah.

Stadium Merdeka tempat bermulanya projek kemerdekaan Malaya dan kemudian berkembang menjadi Malaysia.

Walaupun Kajang terkenal dengan sate dan Sungai Buloh dengan nurseri bunga, tetapi dalam sejarah politik semasa, dua tempat itu mempunyai makna tersendiri.

Kajang dan Sungai Buloh mempunyai penjara. Tetapi Penjara Sungai Buloh merupakan tempat di mana Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada.

Sementara Adun Kajang ialah Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyandang jawatan itu selepas suatu projek Pakatan Rakyat yang gagal, dipanggil “Langkah Kajang”. Ia adalah usaha dilakukan Anwar selepas pilihan raya umum 2013, dihebahkan sebagai Jalan Menuju ke Putrajaya (Road to Putrajaya).

Dalam rancangan Langkah Kajang, Anwar diharap menjadi Adun Kajang dan seterusnya menyandang jawatan menteri besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Dengan mengetuai Selangor, Anwar diharap boleh merintis kepada mendapatkan kuasa di Putrajaya.

Berakhirnya Pakatan Rakyat

Tetapi persilatan politiknya itu gagal. Beliau terpaksa berada di Penjara Sungai Buloh. Dr Wan Azizah menggantikan beliau sebagai calon Adun tetapi gagal menjadi menteri besar Selangor seperti yang dirancangkannya.

Akibat krisis politik Selangor ini, PKR dan PAS mengalami masalah politik dalaman. PKR ditinggalkan Khalid dan PAS juga turut kehilangan Adunnya. Hubungan PAS-PKR tidak menjadi baik.

Datuk Seri Azmin Ali menjadi menteri besar Selangor dengan sokongan PAS. Akhirnya “Langkah Kajang” sedikit sebanyak turut menyumbang kepada pembubaran Pakatan Rakyat.

Tetapi pada masa yang sama ia mewujudkan hubungan baik Azmin dengan PAS hingga menimbulkan rasa tidak senang pada kalangan DAP dan Amanah yang bersama PKR menubuhkan Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Maka tidak hairanlah PAS terus berada dalam kerajaan negeri Selangor walaupun Pakatan Rakyat sudah tiada. Pakatan Harapan berada lebih kecil daripada Pakatan Rakyat kerana ketiadaan PAS. Namun penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan menjadikannya lebih besar daripada sebelumnya.

PPBM, 1MDB dan MRT

Kemunculan PPBM adalah jelas kerana isu 1MDB. Pada asalnya penubuhan 1MDB sepatutnya menjadi projek yang turut menyumbangkan kepada kemajuan negara melalui Program Transformasi.

Dua kawasan besar yang diperoleh oleh 1MDB ialah bekas Pangkalan TUDM Kuala Lumpur yang akan menjadi Bandar Malaysia dan bekas kawasan rumah kuarters kerajaan Pudu yang bakal menjadi Tun Razak Exchange. Di sinilah terletaknya salah satu stesen MRT.

Tetapi mercu tanda paling besar bukannya di Tun Razak Exchange tetapi berhampiran menara Merdeka PNB118 yang dijangka siap pada tahun 2024. Ia terletak dekat Stadium Merdeka. Bangunan ini akan mengalahkan ketinggian Menara Berkembar Petronas dan bakal menjadi bangunan ketiga tertinggi dunia.

Maka dapat dilihat bahawa pentadbiran Najib sedang berusaha mengalahkan apa yang dicapai oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengerusi kedua-dua PPBM dan Pakatan Harapan.

MRT lebih gagah daripada kereta api kota yang dimulakan oleh pentadbiran Dr Mahathir iaitu KTM Komuter, LRT Star/Putra dan Monorel.

Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah juga lebih besar daripada Wawasan 2020. Tetapi Program Transformasi itu pula dilancarkan ketika Dr Mahathir menjadi penyokong Najib.

Malah beliaulah bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggerakkan usaha supaya Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan presiden Umno ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 2008.

Transformasi dan Reformasi

Sokongan yang diperoleh Najib dalam Umno bagi menggantikan Abdullah adalah untuk memulihkan kedudukan BN dalam berdepan dengan gerakan pimpinan Anwar. Maka Program Transformasi itu dapat dilihat sebagai jawapan Najib kepada gagasan reformasi yang dilancarkan oleh Anwar.

Kedua-dua Tranformasi dan Reformasi mempunyai nilai-nilai tersendiri yang berbeza walaupun matlamatnya tetap untuk kebaikan rakyat dan negara. Tetapi ia turut memberi dividen politik pada pihak yang menganjurkannya.

Tentunya Transformasi dapat dilaksanakan kerana pihak penganjurnya mempunyai kuasa kerajaan pusat dan kebanyakan negeri.

Bagi Dr Mahathir yang berusia 92 tahun dan pernah menjadi ketua kepada kedua-dua Najib dan Anwar, beliau tidak menghiraukan apa yang dilakukan oleh program Transformasi atau gagasan Reformasi. Fokus beliau kelihatan hanyalah kepada soal 1MDB walaupun terdapat perkara lain yang dipersetujui beliau ketika turut menandatangani Kenyataan Bersama Pakatan Harapan serentak dengan mengisytiharkan logo mereka.

Kenyataan Bersama yang boleh dianggap sebagai janji pilihan raya Pakatan Harapan itu dapat dilihat sebagai lebih kepada usaha untuk perpaduan dan kerjasama parti-parti berkenaan. Walaupun semua parti mempunyai fahaman politik masing-masing mengenai bagaimana negara ini harus ditadbir, tetapi bagi PPBM dan PKR matlamat mereka adalah jelas. Perhatian PPBM adalah menangani isu 1MDB, dan PKR memperjuangkan supaya Anwar jadi perdana menteri.

DAP mempunyai cita-cita demokratik dan Amanah berusaha untuk melaksanakan politik Islam yang inklusif. Untuk rakyat umum, mungkin apa yang penting adalah penyelesaian masalah kehidupan seharian seperti bagaimana menghadapi kesesakan lalu lintas.

Namun bagi sebahagian anak muda dan peserta Seminar Reformis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) Ahad lalu itu pula, mereka ingin menggali pengalaman tokoh-tokoh lalu dalam hal melakukan pembaharuan masyarakat, iaitu melangkaui suasana politik semasa. – FMT

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply