Aney Hipster & Rakan-rakan, Featured

BENARKAH ORANG-ORANG MELAYU KAUM PENDATANG DI TANAH MELAYU?

07/18/2017

PENGENALAN 

Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Apabila Persekutuan Tanah Melayu, negara yang merdeka dan berdaulat ini disatukan dengan koloni-koloni Inggeris di Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia, hak istimewa orang-orang Melayu ini diperuntukkan juga untuk kaum-kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Sehingga kini, terdapat pendapat tidak benar yang diutarakan oleh sebahagian kecil minoriti yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu di Malaysia bukanlah kaum Bumiputra kerana mereka adalah masyarakat pendatang dari Indonesia. Benarkah orang-orang Melayu kaum pendatang di negara ini?

KEPULAUAN MELAYU

Orang-orang Melayu pernah menjadi pelaut hebat yang melebarkan pengaruh mereka ke atas Kepulauan Melayu atau Nusantara, kepulauan terbesar di Asia Tenggara menerusi empayar maritim Melayu yang dahulunya penguasa rantau ini. Pelabuhan Melayu terawal yang pernah wujud di Nusantara adalah Langkasuka, yang muncul sekitar kurun ketiga Masihi, manifestasi bahawa Nusantara bukanlah terra nullius atau tanah tak bertuan. Nusantara adalah rantau yang membentang luas sekarang ini menempati Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand, Filipina dan Timor-Leste.

Kepulauan Melayu. Image via GoogleMaps

Menjelang kurun ketujuh Masihi, Langkasuka telah dijadikan sebahagian daripada ruang kekuasaan kerajaan Melayu Srivijaya yang gigih menempatkan kerajaan mereka sebagai pusat perdagangan di bumi Melayu Nusantara dengan menjalankan aktiviti ekonomi dengan pedagang dan saudagar dari pelbagai pelusuk Asia, iaitu China, India dan Timur Tengah.

Pusat kekuasaan politik dan ekonomi di Nusantara berpindah dari Pulau Sumatra ke Pulau Jawa pada tahun 1293 Masihi. Di antara kurun ke 12 dan 13 Masihi, Majapahit mengungguli Srivijaya dan mengambil alih peranan kerajaan tersebut sebagai pusat baru politik dan ekonomi di rantau ini. Setelah itu, Melaka bangkit sebagai kuasa ulung di kepulauan Melayu sehinggakan nama kesultanan ini diabadikan pada nama salah satu selat yang tersibuk di dunia – Selat Melaka.

Selain itu, Nusantara juga pernah menempatkan beberapa kerajaan-kerajaan Melayu yang pernah wujud, bangkit dan kecundang seperti Johor-Riau di Tanah Melayu, Palembang di Pulau Sumatera, Brunei di Pulau Borneo, Banten di Pulau Jawa dan Gowa di Pulau Makassar. Sungguhpun rantau Nusantara ini pernah disinggahi orang-orang Cina, India dan Arab, fakta sejarah ini menunjukkan bahawa Nusantara adalah tanah asal orang-orang Melayu sehinggakan seorang cendekiawan British, Alfred Wallace menamakan seluruh kepulauan ini sebagai ‘Kepulauan Melayu’.

Kesultanan-kesultanan Melayu di Tanah Melayu

Penjajahan Eropah bermula di Kepulauan Melayu setelah kejatuhan kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Harus diingat bahawa setelah Melaka jatuh, kawasan-kawasan lain di kepulauan Melayu masih lagi merdeka dengan orang-orang Melayu bebas bergerak ke pelbagai pelusuk rantau ini tanpa halangan.

Orang-orang Melayu adalah kumpulan etnik terbesar di Malaya dan boleh dibahagikan kepada dua kategori utama. Kategori utama adalah ‘anak jati’, penduduk pribumi yang telah menubuhkan pelbagai kerajaan dan kesultanan di Tanah Melayu. Kesultanan-kesultanan Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Johor dan Pahang adalah contoh kerajaan-kerajaan yang telah ditubuhkan oleh golongan Melayu ‘anak jati’.

Kategori kedua, ‘anak dagang’ merujuk kepada orang-orang Melayu yang datang dari kawasan-kawasan lain di Kepulauan Melayu, di luar Tanah Melayu, dengan hasrat untuk menjadikan Tanah Melayu kediaman kekal mereka. Golongan Melayu ‘Anak Dagang’ ini adalah berketurunan Aceh, Batak, Bugis, Minang, Riau, Rawa dan Jawa. Mereka merantau secara sukarela dan bukan seperti kebanyakan kaum bukan Bumiputra, mereka tidak dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh kuasa penjajah. Seperti golongan Melayu ‘anak jati’, ‘anak dagang’ juga banyak menyumbang dalam membentuk struktur politik Tanah Melayu pra-penjajahan. Kesultanan-kesultanan Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor adalah contoh kerajaan-kerajaan yang diasaskan oleh golongan Melayu ‘anak dagang’.

Kesultanan Melaka telah dibuka pada tahun 1400 oleh Parameswara, yang datang dari Pulau Sumatera. Kesultanan Selangor pula dibangunkan oleh orang-orang Bugis yang datang dari Makassar pada tahun 1756 manakala masyarakat Minang dari Sumatra pula mengasaskan kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 1773. Lagipula, sewaktu zaman keunggulannya pada kurun ke 16 Masihi, kesultana Aceh yang berpusat di Pulau Sumatera pernah menguasai beberapa wilayah di Tanah Melayu termasuk Kedah, Pahang dan Johor.

Fakta-fakta ini jelas menunjukkan bahawa sebelum kewujudan Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina, masyarakat Melayu bebas bergerak ke seluruh Nusantara melangkaui Tanah Melayu kerana Kepulauan Melayu dianggap sebagai wilayah orang-orang berbangsa Melayu.

ZAMAN PENJAJAHAN

Garis pembahagian sempadan politik pertama di Kepulauan Melayu dilukis oleh pihak British dan Belanda menerusi Perjanjian British-Belanda 1824 yang dimaterai di London, memisahkan Tanah Melayu dengan kawasan-kawasan lain di Kepulauan Melayu. Tanah Melayu dan Singapura rasmi milik British manakala Sumatera dan kepulauan Riau rasmi milik Belanda. Walaubagaimanapun, kesultanan-kesultanan Melayu di Tanah Melayu tidak dijadikan tanah jajahan British tetapi hanya dijadikan negeri naungan.

Benar bahawa terdapat sebilangan kecil masyarakat Cina, iaitu Baba-Nyonya telah tinggal di Tanah Melayu secara kekal selama berkurun lamanya sejak zaman kesultanan Melaka. Walaubagaimanapun, sejumlah besar masyarakat Cina telah dibawa oleh British ke Tanah Melayu pada kurun ke 19 Masihi dari wilayah selatan China, rantau di luar kepulauan Melayu untuk bekerja sebagai kuli-kuli di lombong bijih timah di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Kaum-kaum pendatang ini datang ke Tanah Melayu dengan satu niat – peluang pekerjaan- tanpa niat menjadikan Tanah Melayu tempat tinggal kekal mereka.

Seperti imigran Cina, pihak British juga membawa masuk imigran India dari tanah jajahan mereka di India dan Ceylon (Sri Lanka) untuk bekerja sebagai buruh. Kebanyakan kaum imigran adalah golongan lelaki bujang yang dewasa tanpa niat untuk tinggal secara kekal di Malaya kerana mereka mempunyai keluarga di tanah leluhur mereka. Migrasi secara besar-besaran ini tidak sama dengan perpindahan golongan Melayu ‘anak dagang’, kerana migrasi penduduk bukan Melayu ke Tanah Melayu ini tidak dilakukan secara sukarela kerana mereka di bawa masuk oleh pemerintah British waktu itu untuk bekerja di lombong timah dan ladang-ladang getah yang terletak di merata Tanah Melayu.

Seperti status pekerja-pekerja migran dari Nepal, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh pada hari ini di Malaysia, imigran Cina dan India pada waktu itu tidak diiktiraf sebagai rakyat baginda Sultan ataupun penduduk Tanah Melayu.

Kaum-kaum imigran ini hanya diberikan kerakyatan apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dengan syarat bahawa mereka mengiktiraf hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputra, kedaulatan sultan-sultan Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan Islam sebagai agama Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

ADAKAH ORANG-ORANG MELAYU PENDATANG?

Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) adalah negara warisan daripada British Malaya manakala Indonesia mewarisi wilayah-wilayah yang pernah menjadi sebahagian dari Hindia Timur Belanda yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1945. Situasi kini berbeza dan tidak sama seperti waktu pra-penjajahan. Kewujudan sempadan antarabangsa dengan undang-undang kastam dan imigresen yang ketat menyebabkan orang-orang Melayu kini terpisah kepada beberapa negara di Kepulauan Melayu yang dahulunya merupakan sebahagian dari wilayah yang sama.

Sebelum kemerdekaan Hindia Timur Belanda pada 1945 dan British Malaya pada 1957, tidak wujud pun sempadan politik antarabangsa yang memisahkan wilayah-wilayah di dalam Kepulauan Melayu. Seperti yang disebutkan sebelum ini, seluruh kepulauan Melayu dianggap sebagai wilayah orang-orang berbangsa Melayu. Jadi, bagaimana mungkin orang-orang Melayu dikatakan sebagai seorang pendatang di wilayah mereka sendiri?

Sebahagian besar masyarakat Melayu Malaysia yang telah menetap di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan Malaysia adalah berketurunan Indonesia. Namun, adalah tidak tepat untuk menganggap mereka sebagai kaum pendatang dari Indonesia kerana mereka hanya berpindah ke kawasan yang masih sebahagian dari Kepulauan Melayu sebelum terbentuknya Malaysia dan Indonesia. Lagi pula, tidak ada kawalan kastam dan imigresen yang formal yang dikuatkuasakan oleh pihak British, Belanda mahupun kerajaan kesultanan Melayu pada ketika itu untuk mengehadkan perpindahan manusia.

KESIMPULAN

Masyarakat Melayu Malaysia tidak boleh dianggap sebagai kaum imigran walaupun sebahagian daripada mereka berketurunan Indonesia. Tidak seperti kebanyakan kaum imigran Cina dan India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu, masyarakat Melayu berpindah secara sukarela tanpa dibawa masuk oleh sesiapa pun. Penubuhan kesultanan-kesultanan Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka adalah manifestasi bagaimana golongan Melayu ‘anak dagang’ melihat Tanah Melayu sebagai tempat tinggal kekal mereka apabila mereka berpindah ke sini. Tanah Melayu pun memang adalah secara geografinya terletak di dalam rantau kepulauan Melayu. Bagaimana mungkin orang-orang Melayu adalah pendatang di Tanah Melayu?

Sewaktu kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, orang-orang Melayu menerima masyarakat imigran Cina dan India sebagai rakyat secara bersyarat bahawa golongan imigran ini mengiktiraf hak-hak orang Melayu sebagai ‘Bumiputra’. Ini adalah persetujuan yang telah dibuat menjelang kemerdekaan yang kemudiannya diteruskan setelah Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan di dalam Malaysia menerusi penggabungan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963.

Jika tidak kerana ini, tidak mustahil masyarakat Cina dan India di Malaysia pada hari ini kekal tidak bernegara seperti yang berlaku terhadap masyarakat Cina di Brunei dan masyarakat Rohingya di Myanmar. Walaupun masyarakat Cina di Brunei dan Rohingya di Myanmar telah menetap lama dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara-negara tersebut, mereka tetap dinafikan hak bernegara. Masyarakat bukan Bumiputra di Malaysia tidak pernah dinafikan hak kewarganegaraan mereka.

Walaupun pada asalnya masyarakat Cina dan India di Malaysia adalah kaum imigran, mereka kini adalah rakyat Malaysia dan perbuatan melabelkan mereka sebagai pendatang tidak patut berlaku. Masyarakat bukan Bumiputra perlu dihormati sebagai saudara senegara.

Namun, sebagai balasan imbal balik dan demi keharmonian negara, masyarakat bukan Bumiputra haruslah menghormati hak-hak orang Melayu dengan tidak mempersoalkan hak istimewa mereka, menyanjungi Bahasa Kebangsaan, menghormati sultan-sultan Melayu serta menerima Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.

Terdapat ahli-ahli politik yang sehingga kini masih tidak memahami sejarah dengan tetap menyatakan orang-orang Melayu sebagai kaum pendatang. Terdapat juga seorang ahli Parlimen yang enggan berbahasa Melayu di Parlimen. Sehingga kini, masih ada sebilangan rakyat Malaysia yang tidak fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Ini adalah suatu yang tidak patut berlaku setelah negara telah mencapai usia lebih daripada setengah abad. Masyarakat Malaysia haruslah belajar dari sejarah dan menghormati antara satu sama lain. Sekiranya Malaysia bersatu dan maju, nescaya kegemilangan Srivijaya dan kesultanan Melaka dapat kita hidupkan semula di zaman Malaysia yang moden ini.

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah and Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia and seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia. Beliau juga berkelulusan Ph.D dari Australian National Centre for Ocean Resources and Security, University of Wollongong, Australia. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tiada kena mengena dengan Teh Tarik Online.

 

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply