Featured, Nasi Lemak Politik

Syed Saddiq Ajak Pemuda UMNO Tangani Hutang Belia

07/14/2017

Pemuda PPBM hari ini menyatakan kesediaan melupakan permusuhan mereka dengan rakan mereka dari Umno demi menyelesaikan isu hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan berpuluh ribu belia Malaysia, menurut Syed Saddiq Abdul Rahman.

Ketua Pemuda PPBM itu berkata keterbukaan itu memandangkan masalah utama dihadapi anak muda sekarang adalah menyelesaikan beban hutang PTPTN dan peluang pekerjaan yang terhad.

Syed Saddiq turut berkata Pemuda Umno lebih mudah untuk menyampaikan hasrat kepada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan dan pihak PTPTN.

Menurutnya, Pemuda Umno boleh bersama mereka sekiranya “serius hendak memperjuangkan nasib anak muda Melayu”.

Katanya, ini kerana golongan itu paling ramai menghadapi hutang PTPTN.

“Kita juga boleh bekerjasama dengan mereka (Umno) untuk dapatkan data berapa ramai pelajar yang menghadapi masalah,” katanya sambil merujuk kepada pelajar lepasan diploma sebelum 2014 yang terpaksa menyelesaikan bayaran pinjaman walaupun sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah.

Sementara itu, Exco Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda PPBM, Abdul Hannaan Khairy menganggarkan lebih 50,000 pelajar diploma yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sebelum tahun 2014 dibebani hutang PTPTN, sehingga nama mereka disenarai hitamkan.

“Walaupun mendapat kelulusan penangguhan bayaran bulanan oleh PTPTN, mereka tetap perlu melakukan bayaran seperti biasa.

“Malah kami difahamkan penangguhan bayaran yang diluluskan PTPTN adalah untuk mengelakkan peminjam daripada dikenakan kos saman dan kos dakwa tetapi masih terikat disenarai hitam,” katanya.

Sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata jumlah bayaran balik pinjaman PTPTN meningkat setiap tahun dengan kutipan diperoleh tahun lalu sebanyak RM3.4 bilion. – FMT

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply