Featured, Tosainomics

Empat Perkhidmatan Tambahan Dikecualikan GST

07/13/2017

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju empat lagi perkhidmatan akan diletakkan di bawah kategori pembekalan berkadar sifar bagi tujuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Perkhidmatan itu adalah perkhidmatan ditetapkan berkaitan dengan barang untuk dieksport yang mana perkhidmatan itu dibekalkan kepada pelanggan luar negara dan perkhidmatan ditetapkan yang dibekalkan dalam Zon Bebas, termasuk Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) kepada pelanggan luar negara.

Dua lagi perkhidmatan terbabit ialah perkhidmatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang disediakan kepada pelanggan luar negara dan perbelanjaan tidak berulang yang ditanggung sebagai perbelanjaan kejuruteraan, termasuk alat dan jentera yang digunakan dalam proses pengilangan barangan.

Bercakap pada majlis makan malam Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) di sini, malam tadi, Perdana Menteri berkata bagi menampung pindaan yang perlu kepada Perintah Kadar Sifar GST, pengecualian daripada dikenakan GST di bawah seksyen 56 Akta GST 2014 telah diberikan berkuat kuasa 1 Julai, 2017.

“Kerajaan Malaysia sentiasa memberi sokongan bagi memudahkan komuniti perniagaan di Malaysia dan mengalu-alukan dialog telus antara semua pihak berkepentingan yang terlibat, ” katanya.

Najib berkata kerajaan juga menyedari AMCHAM telah berusaha gigih menyokong ahli-ahlinya.

Justeru itu, kerajaan di bawah Barisan Nasional komited bagi memastikan garis panduan berkaitan cukai pegangan yang akan diumumkan pada akhir Julai, katanya.

Garis panduan ini akan dirumuskan secara bersama oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, bersama dengan kumpulan industri dan persatuan relevan bagi memastikan kepentingan semua pihak diambil kira.

“Satu jawatankuasa khas di bawah Kementerian Kewangan juga akan ditubuhkan bagi menangani sebarang kesamaran atau pertikaian yang mungkin berbangkit,”katanya.

Sementara itu, mengenai Ringgit, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata bagi menstabilkan mata wang tempatan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan langkah-langkah untuk menyelaraskan semula paras permintaan dan penawaran dolar AS-Ringgit.

Beliau berkata BNM melaksanakan dasar ini dengan tujuan untuk menangani keperluan perniagaan pengeksport.

“Memandangkan pendekatan ini, pengeksport dibenarkan mengekalkan 25 peratus hasil eksport dalam mata wang asing dan selain itu, diberikan kelonggaran untuk meningkatkan baki mata wang asing sehingga enam bulan pembayaran import dan obligasi mata wang asing,” katanya.

Najib berkata ia adalah tanpa sebarang kos menerusi tukar semula serentak pada kadar yang sama dan berharap kelonggaran itu menyediakan ruang bagi pengeksport Malaysia untuk menampung keperluan perniagaan mereka.

Menurutnya, pengumuman ini akan memberikan kepastian dan kelegaan kepada anggota industri.

“Saya ingin mengulangi bahawa kementerian dan semua agensi relevan sentiasa terbuka untuk berbincang dan mengadakan dialog.

“Kami komited untuk memastikan Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelabur dengan persekitaran perniagaan yang dinamik dan kondusif.”katanya.

Sementara itu, Najib berkata syarikat Amerika memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan beberapa sektor di Malaysia, iaitu tenaga, kewangan, elektronik, teknologi dan pembuatan dengan nilai terkumpul pelaburan swasta Amerika dalam sektor pembuatan sahaja lebih daripada US$15 bilion setakat ini.

“Pada masa depan saya ingin mencadangkan kita memeterai perjanjian cukai dua kali antara kedua-dua negara (Amerika Syarikat-Malaysia) kerana ini akan membolehkan syarikat Amerika mengurangkan obligasi cukai mereka,” katanya.

Ketika ini, terdapat kira-kira 200,00 pekerja Malaysia yang bekerja dengan syarikat Amerika, dengan majikan terbesar direkodkan di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan.

“Perdagangan telah lama menjadi tali penghubung antara kita. Amerika Syarikat sentiasa berada dalam senarai sepuluh pelabur asing utama negara dan rakan dagang utama Malaysia, dan juga beberapa kali berada di kedudukan teratas dalam senarai.

“Getah kita, sebagai contoh, penting bagi pertumbuhan industri automobil Amerika dan permintaan itu merangsang pengeluaran kita, ‘sinergi’ awal antara negara kita,”katanya.

Najib berkata banyak firma Amerika masih mengembangkan operasi mereka di Malaysia, dengan ada antaranya berkemungkinan telah menyedari bahawa Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk menjadi hab serantau bagi Asia Tenggara.

“Kami mengalu-alukan dan menghargai pelaburan jangka panjang, dan kami berterima kasih atas keyakinan anda terhadap Malaysia.

“Saya beri jaminan kepada anda yang keyakinan itu kena pada tempatnya. Awal tahun ini Malaysia telah dinamakan sebagai Negara Terbaik untuk Melabur, dalam satu laporan oleh Wharton School di University of Pennsylvania,” katanya.

Di bawah Program Transformasi Ekonomi yang dimulakan pada 2010, Najib berkata, sebanyak 2.26 juta pekerjaan telah diwujudkan, kadar inflasi dan pengangguran berada pada paras rendah dan pertumbuhan kukuh kekal, malahan semasa tempoh kegawatan ekonomi global.

“Kami mahu membina ekosistem yang lebih kukuh, menumpukan kepada tenaga kerja, kemahiran dan inovasi. Untuk melakukannya, kami memerlukan rakan yang mesra dan boleh dipercayai yang akan mengekalkan budaya kerjasama yang menentukan cara kami menjalankan perniagaan.

“Kami mahu syarikat Amerika, yang telahpun menjadi perintis produktiviti generasi seterusnya, untuk terus berkembang di Malaysia dan menjadi rakan strategik dalam perniagaan baharu yang akan membantu kami mencapai status negara berpendapatan tinggi,”katanya. – 1MALAYSIA

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply