Featured, Nasi Lemak Politik, You Kuai Viral

Rafizi akan dedah siapa ‘orang politik’ yang menjadi dalang di sebalik syarikat permit teksi

07/04/2017

Kerajaan perlu menyelesaikan masalah dihadapi pemandu teksi terlebih dahulu, sebelum mewajibkan syarikat perkhidmatan e-hailing mendapatkan lesen operasi, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli. Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan membawa usul menangguhkan pembentangan mewajibkan syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab memohon lesen operasi ke sidang Dewan Rakyat akan datang bagi menyuarakan masalah dihadapi pemandu teksi.

“Selesaikan masalah kebajikan pemandu teksi di Malaysia dulu, sebelum bentang usul melesenkan pemandu Uber, Grab.

“Apa yang paling penting, kerajaan harus mansuh sistem pembayaran sewa harian pemandu teksi,” katanya pada Kongres Himpunan Warga Teksi Malaysia di Dewan Sivik, hari ini.

Pada sidang Dewan Rakyat 4 April lalu, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) untuk mewajibkan syarikat perkhidmatan e-hailing memohon lesen operasi. Melalui RUU itu, kerajaan mahu memperkenalkan lesen perniagaan perantara untuk mengawal selia perkhidmatan itu dan kenderaan pemandu e-hailing seperti kenderaan awam.

Mana-mana pihak yang menjalankan operasi e-hailing tanpa lesen bakal berdepan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pemegang lesen perantara yang gagal mematuhi ketetapan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan pula akan berdepan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM200,000, maksimum 2 tahun penjara atau kedua-duanya. Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa pemandu teksi bersaing secara tidak sihat dan adil dengan pemandu syarikat perkongsian kenderaan kerana perlu membayar sewa mahal, sedangkan pesaing mereka hanya perlu menanggung kos minyak.

“Jika kita (Pakatan Harapan) menang, kita akan hapuskan bayaran harian sewa teksi.

“Saya juga akan dedahkan siapa ‘orang politik’ yang menjadi dalang di sebalik syarikat permit teksi yang selama ini menindas golongan pemandu pengangkutan awam itu,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin yang menyokong gesaan Rafizi berkata, hanya pembangkang yang mengambil berat tentang nasib pemandu teksi. Beliau mendakwa 3 demonstrasi yang diadakan di luar Dewan Rakyat sebelum ini langsung tidak dipedulikan ahli parlimen Barisan Nasional (BN).

“Tiada seorang pun ahli Parlimen BN datang kepada kami. Yang ada PAS, PKR dan Amanah.

“Kenapa kami dilayan macam ini. Adakah bila mereka ada dalam jawatan tertinggi kerajaan, mereka perlakukan kami sebegini?” soalnya. – FMT

Ice.King says
Dedahkan je, dedah. Tapi jangan pasni dia tukar cerita sudaaaaaa….

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply