Featured, Tosainomics

6 Syarikat Singapura Bekerjasama Bida Projek Kereta Api Laju

07/03/2017

Enam syarikat Singapura akan bekerjasama dengan syarikat antarabangsa untuk membida projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Akhbar Straits Times Singapura melaporkan 6 syarikat itu adalah Clifford Capital, DBS, Sembcorp Design & Construction, SMRT International, Surbana Jurong dan Singapore Technologies Electronics (ST Electronics).

Enam syarikat itu bersama International Enterprise (IE) Singapura dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam berkata, mereka bercadang bekerjasama dengan syarikat antarabangsa untuk “mengambil bahagian dalam projek kereta api berkelajuan tinggi, bermula dengan projek HSR KL-Singapura.”

IE Singapura berkata, ia menyatukan syarikat terbabit untuk membantu “merebut peluang global” berdasarkan kepentingan dan potensi projek HSR.

“Perkongsian ini memanfaatkan kekuatan unik setiap syarikat, membolehkan mereka berkembang dalam segmen kereta api berkelajuan tinggi.

“Penyelesaian mereka meliputi keseluruhan rantaian nilai pembiayaan, reka bentuk, pembinaan, integrasi sistem, operasi dan penyelenggaraan,” kata IE Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp Design & Construction, Yam Ah Mee dipetik akhbar itu berkata, melalui kerjasama itu, bidaan mereka bernilai lebih tinggi kerana menggabungkan rekod prestasi bertahun-tahun dalam rantaian nilai rel.

“Kami bercadang bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa yang mempunyai pengalaman rel relevan kerana kami mengambil bahagian dalam pelbagai aspek projek HSR. Pengetahuan kami dalam operasi di Malaysia dan Singapura adalah pelengkap.”

Pengarah Penyelesaian Alam Sekitar dan Infrastruktur Kumpulan IE Singapura, Kow Juan Tiang berkata, infrastruktur pengangkutan menyumbang 25% daripada perbelanjaan infrastruktur global sebanyak AS$4.3 trilion (S$5.9 trilion) pada 2016.

Sehubungan itu, katanya, subsegmen kereta api berkelajuan tinggi merupakan pertumbuhan utama.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura dan MyHSR Corporation Malaysia akan mengadakan taklimat industri pada 5 Julai ini untuk menggariskan parameter bagi tender AssetsCo untuk projek HSR.

AssetsCo akan bertanggungjawab terhadap reka bentuk, pembinaan, pembiayaan dan penyelenggaraan lokomotif serta reka bentuk, pembinaan, pembiayaan, pengendalian dan penyelenggaraan semua aset landasan seperti kerja trek, kuasa, isyarat serta telekomunikasi, termasuk operasi rangkaian.

Tender untuk projek itu dijangka dibuka menjelang akhir tahun ini.

Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian HSR pada Disember 2016. Kedua negara secara bersama akan menganugerahkan tender Rakan Pembangunan Bersama bagi projek yang dijangka menelan kos RM50 bilion itu.

Pembinaan HSR dijangka bermula awal tahun depan dan sistem itu dijangka beroperasi menjelang 2026.

Kereta api laju itu dijangka mengurangkan jumlah perjalanan antara Malaysia dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

Projek yang meliputi landasan sepanjang 350km itu melibatkan 8 hentian – Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura. – FMT

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply