Featured, Nasi Lemak Politik

“Jika Berani Samanlah Saya,” Dr M Cabar Rosmah

06/20/2017

Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyaman beliau berhubung isu berlian yang dibangkitkan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

DoJ menerusi saman sivil bagi melucut hak milik barangan beberapa individu berkait dengan 1MDB mendakwa Rosmah selaku isteri Malaysian Official 1 diberikan sebentuk berlian berwarna merah jambu, tetapi DoJ menyatakan bahawa berlian berkenaan bukanlah sebahagian daripada barangan yang ingin dirampas.

Menggunakan pernyataan oleh DoJ ini, Dr Mahathir mempercayai bahawa berlian berkenaan wujud dan mencabar Rosmah untuk menyaman beliau sekiranya perkara ini tidak benar.

“Saya dengar Rosmah akan saman sesiapa yang membuat tuduhan terhadap dirinya dengan barang kemas yang disebut laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

“Kenapa dia tak cabar DoJ Amerika Syarikat? Di Malaysia daripada dulu kita dengar mengenai cerita berlian RM25 juta itu, sampai sekarang ini semua orang percaya. Itu benar, jika tidak benar dia kena tunjuklah bukti ianya tidak benar.

“Kalau (benar)ada (berlian), patutnya bagi baliklah berlian itu,” kata Dr Mahathir menerusi sebuah video berdurasi 51 saat di laman facebook beliau.

Berani kerana benar kata Dr Mahathir, beliau lantas menuduh Rosmah membeli berlian berkenaan menggunakan wang rakyat.

“Duit yang digunakan ini adalah milik rakyat bukan milik DS Rosmah.

“Jika berani, samanlah kami. Saya bersedia,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, dakwaan oleh bekas Perdana Menteri bersandarkan kenyataan DoJ hanyalah tuduhan liar semata-mata sepertimana diakui oleh DoJ sendiri.

“Aduan pelucuthakan sivil adalah semata-mata dakwaan bahawa wang atau harta tersebut terlibat dalam atau mewakili hasil kutipan jenayah.

“Tuduhan ini tidak terbukti sehingga penghakiman membuat keputusan mahkamah memihak kepada Amerika Syarikat,” tulis DoJ pada perenggan akhir tuntutan samannya. – Malaysian Digest

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply