Featured, Nasi Lemak Politik

PH Yakin Mampu Tewaskan Kempen Perkauman Dalam Misi Menawan Putrajaya

05/27/2017

SEBAGAIMANA pasti datangnya malam dan siang, Pakatan Harapan (PH) tahu yang ketaksuban perkauman akan menjadi sebahagian besar daripada senjata pertahanan Umno menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Memandangkan gabungan itu termasuk DAP, parti majoriti Cina, PH tahu ia tidak banyak pilihan dan perlu meyakinkan pengundi Melayu yang ia akan melindungi kepentingan Melayu Islam, jika ia berjaya menawan Putrajaya.

Pemimpin PH berkata dua ahli terbarunya – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Amanah – sedang membantu menepis serangan yang mendakwa gabungan itu diketuai DAP.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata: “Orang Melayu boleh lihat satu parti Islam dan parti Melayu sebagai komponen dalam gabungan yang berpegang kepada urus tadbir baik dan politik perubahan.”

“Cabarannya ialah memberi penjelasan mengenai perkara ini tanpa kelihatan seperti nasionalis Melayu atau ekstremis agama,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Dimomokkan

Di sebalik keyakinan Khalid, bukan mudah untuk meyakinkan akar umbi yang kuasa politik Melayu akan selamat di tangan kerajaan PH.

Tanggapan Kamarul Salleh, seorang penjawat awam mengenai PH mencerminkan pengaruh menghakis jenama Umno mengenai perkauman dalam kalangan pengundi Melayu.

Kamarul terasa dengan kenaikan harga barangan rumah dan tahu negara ini dalam kesusahan tetapi tidak pasti sama ada dia boleh mempercayai pembangkang untuk memegang kuasa persekutuan.

“Orang kata jika anda undi PH, ia undi untuk DAP. DAP yang ketua PH kerana ia ada kerusi Parlimen terbanyak,” katanya merujuk kepada 37 kerusi milik DAP. PKR, parti komponen PH mempunyai 29 kerusi, Amanah sebagai parti serpihan PAS ada enam dan Bersatu, satu kerusi.

“Jadi ia boleh mendominasi PH kerana PKR tidak ada banyak kerusi dan begitu juga parti lain,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Ketakutan Kamarul terhadap PH hadir daripada ketakutan zaman dulu yang orang Melayu ada terhadap DAP, yang parti sekular itu akan menyingkirkan Islam sebagai agama rasmi dan menghentikan dasar tindakan afirmatif bagi Bumiputera.

DAP secara konsisten berjanji akan menegakkan Islam sebagai agama persekutuan dan hak keistimewaan orang Melayu seperti tertulis di 153 Perlembagaan Persekutuan.

Penganalisis seperti Prof Redzuan Othman meramalkan ketika kempen semakin giat dijalankan menjelang PRU, retorik perkauman akan digunakan untuk mengalih perhatian pengundi seperti Kamarul daripada isu lebih menekan seperti inflasi.

Sebagai contoh, pada masa ini ramai pemimpin Umno bercakap yang ketua sebenar pembangkang dan akhirnya akan menjadi perdana menteri PH ialah Lim Kit Siang, pengerusi nasional DAP.

Menurut kajian badan pemikir seperti Merdeka Center, provokasi seperti itu berkesan dalam kalangan Melayu Islam di kawasan luar bandar, yang memegang undi kemenangan pada PRU14.

“Dalam kalangan semua negara di rantau ini, rakyat Malaysia secara konsisten mengundi di garisan perkauman dalam PRU selama ini,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.

Bagi Melayu Islam, Umno dan PAS menjadi parti politik berdaya maju hanya kerana mereka sudah berada di negara ini lebih lima dekad dan kerana mereka berbentuk perkauman – satu mewakili orang Melayu, satu lagi Islam.

“Jadi bila orang Melayu mahu menunjukkan kemarahan terhadap Umno, mereka pilih PAS,” kata Ibrahim.

Dan walaupun Bersatu mempunyai ahli politik legenda, Dr Mahathir Mohamad, Ibrahim berkata data tidak menunjukkan ia menerima kepercayaan orang Melayu Islam seperti dimiliki PAS atau Umno.

Bersekutu dengan DAP juga mencemar kelayakan Dr Mahathir sebagai pemimpin Melayu Islam, kata Ibrahim.

Perdebatan perkauman

Pemimpin Bersatu mendakwa mereka menyahut cabaran untuk menjelaskan mengenai hubungan parti itu dengan DAP.

Shukur Mohamad, dari Batu Pahat sering mengadakan ceramah dan dialog dengan orang Melayu Islam di Johor, yang dikatakan mempunyai penyokong setia Umno paling ramai.

“Saya jelaskan kepada orang Melayu bagaimana kerusi Parlimen ada kecacatan. Jika seorang ahli Parlimen Umno dikalahkan oleh ahli Parlimen Melayu lain sama ada daripada Amanah, Bersatu atau PKR,” kata Shukur, yang berkempen di Sri Gading pada 2013, di mana Umno menang dengan 5,761 majoriti undi.

“Kerana calon Umno biasanya dicabar oleh seorang lagi calon Melayu. Jadi saya beritahu mereka, lebih ramai calon Amanah atau Bersatu menang, lebih banyak ahli Parlimen Melayu anda dapat dalam PH dan PH akan hanya boleh memegang kuasa dengan ramai ahli parlimen Melayu.”

Katanya, logik itu dilihat berkesan menerusi bukti semakin ramai orang datang ke program mereka di kawasan ramai Melayu di Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi, tempat di mana PAS sendiri pernah dihalau keluar.

 Seorang lagi pemimpin Bersatu di Johor, Mazlan Bujang berkata tekniknya ialah mengadakan sesi interaktif kecil-kecilan dengan orang Melayu Islam supaya mereka boleh berdebat dan tanya soalan.

“Dalam menangani pandangan perkauman, anda perlu tunjukkan bagaimana logik mereka ada kecacatan. Ia tidak boleh sekadar ceramah di mana komunikasinya sehala,” kata Mazlan, ketua Bersatu Tebrau.

“Pendekatan saya ialah dialog supaya mereka boleh menjawab dan saya beri jawapan balas kepada hujahan mereka. Dengan cara itu baru mereka nampak logik mereka salah,” katanya, yang mendakwa sudah mendaftarkan lebih 2,000 ahli baharu Bersatu menerusi sesi dialog sebegitu. – 27 Mei, 2017.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply