Featured, You Kuai Viral

SPRM Nak Hapuskan Semua Yang Korup Lepas PRU? Lambat Sangat Tu…

05/06/2017

Masa Makin Suntuk Untuk Pemimpin Korup Dalam Parti

MENCARI pemimpin parti yang korup untuk diheret ke muka pengadilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 bukan satu tugas mudah sebenarnya.

Walaupun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memberi jaminan kepada rakyat bahawa ia akan menjadi realiti namun hakikatnya amaran awal yang diberi mungkin menjadikan mereka yang terlibat bersedia lebih awal.

Bagaimana tidak, mereka akan terlebih dahulu ‘membersihkan’ diri masing-masing dengan pelbagai helah dan strategi termasuk dari segi undang-undang bagi memastikan diri tidak termasuk perangkap SPRM.

Pastinya orang-orang politik ini lebih dahulu bijak dan tindakan SPRM mungkin boleh diandaikan seperti memberitahu kepada media jadual operasi rahsia tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) lebih awal sebelum tarikhnya.

Sudah tentu PATI berkenaan lari dan pastinya orang-orang atas yang terlibat dalam ‘industri’ ini lebih awal menyembunyikan PATI sekali gus membersihkan lokasi cari makan mereka.

Analoginya sama, rakyat mungkin tersenyum membaca berita begini di media perdana malah memberi pendapat yang pasti menggelikan hati.

Ada yang berpendapat, tindakan SPRM itu seolah-olah sengaja memberitahu agar mereka yang terlibat bersedia lebih awal dan membersihkan setiap bahan bukti sebelum masa operasi.

Malah tidak kurang juga yang berpandangan, tindakan SPRM itu hanyalah sekadar gertak yang memastikan mereka dapat berselindung daripada dituding jari atas kesalahan ahli-ahli politik berkenaan.

Biarlah, setiap warga masyarakat berhak berkata apa sahaja lebih-lebih lagi netizen yang menghentam tanpa banyak usul periksa.

Namun, sedarkan masyarakat, sistem penyiasatan SPRM adalah antara yang terbaik di negara ini. Amaran awal yang diberikan SPRM bukanlah cakap kosong namun sudah dikaji dengan bukti-bukti kukuh selain hanya menunggu masa untuk suspek dicekup.

Dzulkifli sendiri sudah memberi memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pemimpin yang korup akan diheret ke muka pengadilan walau pun menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, tiada apa yang hendak disorokkan malah menasihati pengundi supaya bijak menilai dan memilih pemimpin yang benar-benar bersih serta bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Dia juga mengakui tidak ada apa-apa agenda peribadi yang hendak dibuat malah mahu SPRM sentiasa dihormati dan disegani.

Dzulkifli juga memberitahu SPRM telah memulakan siasatan kes melibatkan ahli-ahli politik termasuk kes berprofil tinggi.

Jadi apa lagi yang hendak digusarkan terhadap SPRM serta perjalanan pilihanraya bersih dan bebas dari rasuah?

Jika dilihat perjalanan SPRM akhir-akhir ini, terlalu banyak tangkapan yang dibuat melibatkan pegawai kerajaan serta individu yang melibatkan nilai jutaan ringgit.

Ia sekali gus menunjukkan agensi itu tidak ‘dipegang tengkuk’ oleh mana-mana kuasa besar atau pemimpin berpengaruh yang didakwa sesetengah pihak.

Pastinya ramuan utama yang harus dipegang pastinya tanggungjawab bersama untuk memastikan Malaysia bebas dan bersih daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Kewajipan itu menjadi nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan rakyat serta negara selain yakin setiap sen yang diperolehi daripada gaji masing-masing diperoleh bukan melalui pekerjaan atau hasil rezeki yang bertentangan dengan undang-undang, etika dan integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Apa yang diperkatakan SPRM adalah rentetan daripada saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas ahli politik yang disyaki terlibat dengan rasuah.

Malah, tegas Naib Presiden UMNO itu, ruang dan peluang siasatan turut diberikan kepada siasatan ke atas mana-mana ahli perniagaan, atau mereka yang berjawatan.

Rakyat pasti menagih janji SPRM dalam usaha memerangi gejala rasuah di negara ini malah pasti mahu setiap proses dipercepatkan dan tidak hanya amaran menunggu masa untuk mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik berkenaan.

Apabila sampai masanya, rakyat sentiasa berharap SPRM mendedahkan sahaja siapa yang akan ditangkap dan tidak akan melepaskan sesiapa yang terlibat dengan perbuatan rasuah.

Jangan jadikan pangkat dan kedudukan – sama ada mereka ahli politik, ahli perniagaan atau pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahu pun penjawat awam sebagai halangan untuk melakukan tangkapan.

Biarlah, sekalipun seandainya tangkapan itu melibatkan pimpinan tertinggi kerajaan atau pembangkang, ia bukti ketelusan SPRM yang tidak boleh dipertikaikan sesiapa.

Aney Hipster kata: Semoga apa yang dicakap…dikotakan la ye abam-abam SPRM. Alangkah baiknya kalau mereka yang terbukti salah tu di charge sekarang ni…supaya kami semua tak tersalah pilih masa PRU14 nanti…Kami rakyat nak percaya sape lagi…tuan-tuan je la…jangan la buat gimik je eh…cakap nak tahan yang semua…tahan bebetul. Tapi jangan tahan yang ikan bilis je. Yang jerung semua tahan sekejap lepas tu lepas…

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply