Featured, You Kuai Viral

Program PERMATA Ke United Kingdom Pulak…

05/04/2017

Rosmah ke UK perluas program PERMATA

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung Program PERMATA akan mengadakan lawatan ke London, United Kingdom mulai esok hingga 10 Mei 2017.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, beliau dijadual menyampaikan ucapan serta merasmikan Majlis Nobel Minda atau Nobelist Mindset iaitu sebuah program anjuran PERMATA Pintar dengan Royal Society of London.

Program ini dimulakan pada 2012 bersama New York Academy of Sciences, Amerika Syarikat dan kini kerjasama yang sama diperluaskan dengan Royal Society of London dan University of Cambridge, United Kingdom.

Program Minda Nobel itu bertujuan memberi peluang kepada murid pintar dan berbakat menjalankan aktiviti berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM di beberapa universiti seperti Cambridge University, London College University dan ICL London.

“Seramai 32 pelajar dari Kolej PERMATA Pintar, Kolej PERMATA Insan, Kolej MARA, sekolah menengah kebangsaan dan universiti awam serta enam guru akan menyertai program ini di London selama dua minggu,” kata kenyataan itu.

Rosmah akan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain itu, Rosmah dijangka menyaksikan majlis menandatangani dua Surat Hasrat (LOI) iaitu antara PERMATA Pintar dan Cambridge University, dan PERMATA Insan dengan Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford.

“Kerjasama dengan Cambridge University itu bertujuan membolehkan pelajar PERMATA Pintar menjalankan penyelidikan bersama para saintis terkemuka dari universiti berkenaan.

“PERMATA Insan pula akan menerokai peluang kerjasama dengan Oxford Centre for Islamic Studies,” kata kenyataan itu.

Rosmah juga akan mengadakan lawatan dan perbincangan dengan wakil Mahkamah Pakar Keganasan Domestik dan The Rape and Serious Sexual Offences (RASSO) Team dari The Crown Prosecution Service (CSP).

Ini adalah lanjutan daripada seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak : Hentikan!! yang dianjurkan bersama oleh PERMATA dengan beberapa pihak lain pada Mac lalu.

Sementara itu, Bernama turut melaporkan Rosmah menerima anugerah Tokoh Inovasi Pembangunan Kanak-kanak daripada Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) atas sumbangan dan jasa beliau sebagai pengasas dan penaung program PERMATA.

Anugerah itu disampaikan kepada beliau oleh Pengerusi YPC Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee bersempena majlis Anugerah Guru Bestari 2017 anjuran yayasan berkenaan, hari ini.

YPC turut menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Yayasan PERMATA.

Menurut YPC, Rosmah menerima anugerah itu berdasarkan peranan, jasa dan sumbangan kepada negara antaranya dalam membina keupayaan, mencungkil kreativiti, merangsang minda dan kemahiran sosial kanak-kanak di bawah usia empat tahun menerusi Program PERMATA Negara.

Ia juga sebagai menghargai sumbangan beliau dalam menyantuni kanak-kanak autisme dan menitik berat penjagaan berkualiti kepada kanak-kanak autisme menerusi PERMATA Kurnia selain membimbing pelajar yang mempunyai kepintaran luar biasa untuk menjadi lebih cemerlang menerusi PERMATA Pintar.

Anugerah berkenaan juga sebagai menghargai peranan isteri perdana menteri dalam menggilap bakat kanak-kanak yang berpotensi dalam bidang seni selain inisiatif meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah seksual kanak-kanak.

Pada majlis hari ini, Rosmah menyampaikan Anugerah Guru Bestari kepada 37 guru sekolah dalam Parlimen Cheras dan Kuala Lumpur. Mereka menerima wang tunai, telefon pintar dan sijil penghargaan.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan anugerah Guru Bestari yang diwujudkan YPC sejak 2001 sebagai pengiktirafan atas pengorbanan guru yang tidak jemu mendidik anak bangsa.

“Saya berasa gembira dengan inisiatif ini yang menunjukkan kesungguhan serta komitmen tinggi YPC untuk membantu kerajaan memartabatkan profesion perguruan dan memajukan sektor pendidikan negara,” katanya.

Turut disampaikan ialah Anugerah Khas Pembangunan Pendidikan, Anugerah Khas PIBG, Anugerah khas Kepimpinan Guru Besar dan Anugerah Khas Kepimpinan Pengetua.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Foziah Buang menerima Anugerah Khas YPC. – Bernama – 

Aney Hipster kata: Tahniah la buat anak-anak PERMATA nih…semoga JV dengan Oxford and Cambridge ni membuahkan hasil untuk Malaysia. Tahniah DS Rosmah atas anugerah yang diterima dan selamat berjalan ke London…behave eh kat sana…nak pilihan raya nih 🙂

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply