Featured, Nasi Lemak Politik

Pemuda PAS Lulus Usul ‘Cerai Talak 3’ Dengan PKR

04/28/2017

Selepas Dewan Ulama, kini giliran Pemuda PAS meluluskan usul menamatkan kerjasama dengan PKR.

Usul itu dibawakan Perwakilan Pemuda PAS Terengganu, Abdul Rahman Che Mat dan disokong Pemuda Shah Alam, sebelum ia diterima sebulat suara perwakilan tanpa bahas dan disahkan Timbalan Pengerusi Tetap, Dr Riduan Mohd Nor.

Rahman berkata, usul itu dikemukakan susulan sikap PKR terus menyerang dan tidak menghormati parti Islam itu sebagai rakan tahaluf siyasinya.

“Berlaku pelbagai jenis serangan dan tohmahan (oleh PKR) kepada batang tubuh presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

“Sebelum ini kita melakukan tahaluf siyasi dengan mereka dengan beberapa syarat yang ditetapkan dan berdasarkan syarat yang telah dilanggar, kami cadangkan untuk putuskan hubungan cerai talak tiga,” katanya ketika berucap pada Muktamar Pemuda PAS di Kompleks PAS kedah hari ini.

Keputusan disambut dengan laungan takbir daripada perwakilan.

Usul ini akan dibawa ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama yang mempunyai kata putus terakhir.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali di Muktamar Dewan Ulama PAS mengumumkan usul memutuskan “tahaluf siyasi” (kerjasama politik) dengan PKR yang diluluskan tanpa bahas.

“Menyedari bahawa PKR telah melanggar begitu banyak syarat-syarat ‘tahaluf siyasi’ dengan PAS, maka Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat yang bersidang pada 27 April 2017 bersetuju untuk mengusulkan agar ‘tahaluf siyasi’ antara PAS dan PKR diputuskan tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama,” menurut usul dikemukakan Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan dan Perak.

Hari ini pula, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, PKR tidak terkejut, malah akan menghormati keputusan Muktamar PAS sekiranya menamatkan kerjasama dengan PKR, tetapi ia perlu disusuli peletakan jawatan adun PAS yang dilantik sebagai exco Selangor.

Katanya, tidak masuk akal sekiranya PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP sebelum ini, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.

“Adalah lebih molek sebarang keputusan dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana jika PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan Keadilan (PKR) secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan,” kata Saifuddin hari ini. – FMT

Mr. Barista says: Ok…Nak cerai talak berapa pun silakan la..Jangan tetiba nanti rujuk semula and nak cium mulut balik sudahhhhh…Itu je laa..

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply