Featured, Nasi Lemak Politik, You Kuai Viral

Zaid Minta Tanya Peniaga Di Kelantan Terlebih Dahulu Untuk Hentikan Operasi Perniagaan Semasa Solat Maghrib

04/20/2017

Datuk Zaid Ibrahim hari ini mencadangkan pungutan suara diadakan berhubung arahan kerajaan negeri kepada peniaga pasar malam menghentikan operasi sementara ketika masuk waktu solat Maghrib.

Beliau berkata demikian sebagai menepis kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik New Straits Times yang mendakwa rakyat Kelantan menyokong larangan berniaga selama 15 minit ketika azan Maghrib berkumandang.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tidak mungkin Mustapa tahu dengan pasti pendapat orang Kelantan, khususnya peniaga mengenai larangan menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib.

“Apa kata kita tanya orang Kelantan apa yang mereka mahu? Tetapi, sudah tentu, kita perlu tanya peniaga terlebih dahulu kerana dasar ini membabitkan rezeki mereka.

“Mustapa tidak pernah berniaga di pasar malam, jadi bagaimana dia tahu kepayahan hidup peniaga ini,” kata Zaid kepada FMT.

Zaid berkata, tanggungjawab kerajaan negeri ialah berlaku adil kepada semua orang, termasuk peniaga kecil yang mencari sesuap nasi.

Ahli DAP itu mendakwa sokongan Mustapa terhadap dasar berkenaan sebagai menunjuk-nunjuk dan mahu meraih populariti.

“Dia berkelakuan seperti pemimpin PAS sekarang, menunjuk-nunjuk kelayakan agamanya. Padahal peraturan itu memberi kesan kepada rezeki peniaga kecil di Kelantan dan anda perlu menjadi peniaga kecil untuk tahu perkara ini.

“Pasar malam beroperasi hanya kira-kira 3 jam dan rakyat Kelantan akan keluar dan membeli barang di sana ketika waktu Maghrib juga.

“Sudah tentu jika anda tanya mereka perkara ini, mereka akan kata tidak kerana mereka tidak mahu digelar jahil.”

Zaid berkata, sokongan menteri perdagangan antarabangsa dan industri terhadap dasar itu mungkin didorong pakatan pilihan raya yang dikatakan berlaku antara Umno dan PAS, 2 parti Melayu terkuat di Malaysia.

“Sebab itu mereka menyokong dasar masing-masing sekarang. Ia hanya kemudahan politik, tiada kaitan dengan kebajikan peniaga atau orang ramai. Ini semua politik.”

Isnin lalu, kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS mewajibkan semua peniaga, termasuk bukan Islam menghentikan perniagaan tidak melebihi 15 minit apabila azan dilaungkan ketika Maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood memberitahu FMT, ia bertujuan memastikan semua pihak, termasuk pembeli boleh menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan aktiviti masing-masing.

Dasar itu dikritik pelbagai pihak, termasuk Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Lim Kham Hong dilaporkan berkata, peniaga bukan Islam tidak boleh dipaksa mematuhinya peraturan itu sehingga mengenakan tindakan saman.

Hari ini, Fattah dilaporkan berkata, kerajaan negeri bersedia mengecualikan peniaga bukan Islam daripada peraturan itu kerana arahan itu bertujuan memberi keselesaan kepada umat Islam, khususnya peniaga menjalankan ibadat solat.

Katanya, kerajaan negeri sedia berbincang dengan peniaga bukan Islam yang berniaga di kawasan majoriti bukan Islam supaya dikecualikan, jika ada permintaan.

Kredit: FMT

Mr. Barista says: Alamak Zaid…stop 15 minit je pun..Hormat la waktu solat.. Yang non-muslim tu pi lantak dia la tak nak stop kejap waktu solat maghrib…Takkan isu macam ni pun nak jadi isu besar? Solat tu kan satu kewajipan…Tak jatuh rugi pun la kalau stop berniaga kejap untuk tunaikan solat maghrib. Ni bukan soal nak raih popularity sebab kononnya PRU dah dekat, tapi ni soal hak agama kot. Macam ni ke bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berfikir? Adehhh….

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply