Featured, Nasi Lemak Politik, Tosainomics

Rasionalisasi Penamatan Formula 1 Di Malaysia

04/11/2017

SEMUA pihak seharusnya menerima dan menyambut baik keputusan kerajaan untuk menamatkan perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas tahun 2018. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 April lepas telah pun menjelaskan penamatan kontrak F1 itu berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjurannya.

Umum mengetahui, perlumbaan F1 diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Adakah penamatan F1 itu disebabkan oleh ia diilhamkan oleh Mahathir?

Sudah tentu tidak dan rakyat seharusnya menghentikan tohmahan kononnya tindakan kerajaan itu sekadar mahu melenyapkan legasi Mahathir. Hakikatnya, kejayaan atau kerugian penganjuran perlumbaan Grand Prix itu bukan menggunakan sesen pun daripada wang milik Mahathir.

Jadi, daripada manakah sumber kewangan itu diperolehi?

Sudah tentu menggunakan wang milik rakyat daripada kerajaan sendiri serta melibatkan campur tangan atau persefahaman dengan pihak swasta. Tidak dinafikan, peringkat awal penganjuran F1 dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia. Selain itu, ia juga dapat mempromosi negara Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong global. Namun begitu, sudah sampai masanya kerajaan menilai penganjuran kejohanan F1 ini dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak menganjurkan perlumbaan ini pada tahun 1999. Jelas Perdana Menteri, keputusan menamatkan F1 pada 2018 dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada SIC mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak-pihak berkepentingan. Najib turut memaklumkan, kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun. Pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu. Sudah tentu kerajaan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan menamatkan F1.

Untuk rekod, F1 di Malaysia bermula pada 1999 dan pada mulanya mendapat tentangan dari rakyat kerana dikatakan sebagai projek yang membazir. Program berprestij dunia itu sudah lebih 15 tahun diadakan di negara ini dan pada zaman kegemilangannya mengundang puluh ribu penonton dan pelancong dari seluruh dunia bagi menyaksikannya. Ia adalah disebabkan oleh suhu kepanasan litar yang tinggi di SIC pada setiap kali penganjurannya memandangkan lokasi Malaysia di kawasan khatulistiwa. Kemerosotan penonton mungkin disebabkan keadaan cuaca panas yang mengekang kehadiran pelancong dari Eropah dan negara yang beriklim sejuk semata-mata mahu menonton F1. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menjelaskan, kerajaan akan memastikan litar SIC tidak menjadi projek gajah putih berikutan penamatan kontrak penganjuran perlumbaan F1.

Keputusan itu perlu dilihat secara positif demi menjimatkan perbelanjaan negara memandangkan kos penganjuran F1 terlalu tinggi untuk diteruskan selain sambutan daripada peminat sukan permotoran itu semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jelas Nazri, walaupun penamatan kontrak ini menjejaskan kedatangan peminat F1 ke Malaysia, namun ada banyak lagi kaedah lain dalam usaha menarik pelancong ke negara ini. Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM300 juta setiap tahun untuk menganjurkan perlumbaan berkenaan tetapi apabila keadaan ekonomi tidak stabil, sudah tentu kerajaan perlu membuat perancangan secara bijak. Perbelanjaan yang digunakan untuk penganjuran F1 sebelum ini mungkin boleh disalurkan kepada program lain yang bermanfaat kepada masyarakat.

Adakah penamatan penganjuran F1 tersebut boleh mengurangkan kehadiran pelancongan dalam jumlah yang begitu besar ke negara ini?

Presiden Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, Harith Mohd. Ali turut memaklumkan, walaupun kedatangan pelancong terutama peminat F1 ke negara ini mungkin terjejas, namun ia melibatkan peratus yang kecil sahaja. Jadi, adalah tidak menjadi masalah jika kerajaan menamatkan F1 dan kerajaan pastinya mempunyai cara tersendiri untuk menarik kehadiran pelancong asing ke negara ini. Tambahan lagi, hanya F1 sahaja ditamatkan tetapi kerajaan akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani dan menaik taraf kemudahan di SIC.

Di Malaysia, antara F1 dan MotoGP yang mana lebih mendapat sambutan?

Sudah tentu MotoGP kerana motosikal lebih dekat dengan jiwa rakyat Malaysia. MotoGP bukan asing dengan rakyat Malaysia. Ia lebih dahulu dekat dengan jiwa anak muda Malaysia berbanding F1 iaitu sejak tahun 1980-an lagi. Bakat-bakat daripada kejohanan Cup Prix mula menyerlah sejak tahun 2000 apabila nama seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menonjol di arena MotoGP dalam kategori 250cc. Kini dalam tiga kategori perlumbaan MotoGP, Malaysia boleh berbangga dengan pelumba Khairul Idham Pawi dalam Moto3, Hafizh Syahrin (Moto2) dan kelas MotoGP – Zulfahmi Khairuddin. Ramai lagi pelumba berbakat Malaysia yang bertaraf antarabangsa. Lumba motosikal Malaysia nampaknya berjaya dari segi menarik penonton.

Jadi, adakah SIC akan sunyi selepas perlumbaan F1 ditamatkan?

Sudah tentu tidak. SIC tidak akan terbiar kerana akan digunakan untuk sukan MotoGP yang lebih memikat penonton tempatan. Tahun lalu jualan tiket MotoGP Malaysia di SIC habis dijual dan dianggarkan 90,000 orang, termasuk di tempat duduk kawasan bukit dipenuhi penonton. Jadi, kerajaan boleh menggunakan dana untuk penganjuran F1 kepada program pembangunan akar umbi MotoGP. Kini sudah sampai masanya kerajaan mengalihkan tumpuan kepada meningkatkan pelumba MotoGP yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Di pihak kerajaan, sesuatu yang direncakan itu pastinya demi kebaikan negara dan sebagai rakyat, kita seharusnya memberikan sokongan tanpa melihatnya daripada aspek negatif.

Kredit: Malaysian Access

 

Aney Hipster Kata -Dah 15 tahun organize F1 baru sedar tak untong…hmmm…untuk yang berkenaan, lain kali sila lah ambil kira apa yang rakyat cakap kan…lama jugak tu baru nak sedar…

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply